PAS ‘giant killer’ robohkan tembok DAP di Pulau Pinang

Keyakinan Presiden PAS tahun 2016 menjadi kenyataan

- Advertisement -

PULAU Pinang pernah satu ketika dirasa seperti sebuah kota yang sangat kukuh dan kuat berada di bawah penguasaan DAP. Kebal dan kekalnya seolah-olah cukup ampuh hingga mustahil untuk disaingi, apatah lagi ditembusi.

Hal tersebut bahkan menjadi gundah rasa dalam kalangan ahli-ahli PAS di Pulau Pinang yang seperti hilang keyakinan diri. Ditambah pula dengan polarisasi kaum kian membesar, serta cauvinis dan kiasu yang meninggi di bawah DAP.

Lunturnya semangat, lalu ada yang mengungkapkan ‘Kalau DAP’ melakukan demikian itu atau ini; akan berkembang besarlah cengkamannya di negeri itu dan semakin sukarlah pula kepada lawan parti itu termasuk PAS sendiri.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (kini Tan Sri) bagaimanapun sebaliknya menyuntik motivasi atas roh yang pudar itu dengan menyeru supaya bangkit berjuang tanpa punya perasaan ragu-ragu.

Katanya, semua ahli mestilah meyakini bahawa PAS akan dapat menguasai Pulau Pinang suatu hari nanti dan perlu berusaha untuk mendapatkan kerusi-kerusi Melayu yang masih banyak di negeri tersebut.

Tegur beliau, andaian dengan berkalau-kalau boleh membuka kepada kerja syaitan, sebaliknya ahli PAS mesti bersedia berdepan dengan semua parti politik, ucapnya pada Liqa’ Fikri (Tertutup) PAS Pusat di Stadium Tertutup MPSJ, Seri Kembangan, pada 30 Januari 2016.

“Kita jangan letak ‘Kalau Umno’, ‘Kalau DAP’, kita kena letak ‘Kalau PAS!’ Mesti kena ‘Kalau PAS!’. Kita mesti berusaha ‘Kalau PAS menguasai…’, kerana kerusi-kerusi Melayu masih ada, masih banyak di Pulau Pinang dan kita berdepan dengan parti-parti politik.

“Umno adalah parti nasionalisme yang berani mati. Dia kebangsaan Melayu, dia berani mati. PKR parti sekular, berani mati juga. DAP parti sekular, sosialis. Dan kita kena sedar yang Malaysia tidak boleh diperintah dengan satu kaum sahaja,” ujar beliau.

Tegasnya, parti yang berasaskan cauvinisme mahupun perkauman tidak akan boleh memerintah Malaysia dan pasti gagal, termasuk PAS juga tidak boleh bersikap perkauman, tetapi berpegang bahawa Melayu-Islam adalah asas kepada politik Malaysia.

Hal itu jelas Tuan Guru, kerana PAS berbeza dengan perjuangan parti-parti lain yang sememangnya berasaskan ideologi-ideologi tertentu termasuk sentimen perkauman serta pelbagai agenda atau kepentingan tertentu.

“Kita letakkan Islam di hadapan, (untuk) tegakkan Islam. Melayu akan selamat, semua (kaum) selamat. Tegakkan Melayu, (tetapi) Islam letak di belakang, belum tentu Melayu selamat.

“Sebab itu kita kena yakin dan percaya, jangan ada dalam fikiran kita (bahawa) orang Cina sampai kiamat (akan) ikut DAP, tidak! DAP juga mengalami pasang surut, pernah tinggal beberapa kerusi. Jangan kita ingat DAP ni parti yang kekal sehingga Hari Kiamat.

“Kita pun tak kekal sehingga Hari Kiamat. Dengan sebab itu, kita kena letak kerja sungguh-sungguh, yang boleh kita buat untuk PAS boleh (berjaya). Insya-Allah boleh!” ujarnya membakar semangat dan disambut gemuruh laungan takbir.

Tembok retak, berlubang dan runtuh

Tidakpun sampai 10 tahun Tuan Guru meluruskan keyakinan tersebut, PAS Pulau Pinang membuktikan ia penggerak penting perjuangan agama, rakyat dan negara di negeri PAS didaftarkan penubuhannya itu.

Seawal PRU14 tahun 2018 lagi, pemerintahan 10 tahun DAP di negeri kubu kuatnya itu telah diretakkan apabila Allah SWT menganugerahkan kemenangan buat calon PAS, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah di kerusi N.01 Penaga.

Kemaraan tersebut berterusan di mana PAS bagaikan ‘Giant Killer’ yang mewakili Perikatan Nasional (PN) telah berjaya melubangkan kekuatan kota pertahanan DAP itu pada PRU15 November tahun lalu.

Gelombang rakyat itu telah memenangkan calon PN di P.041 Kepala Batas, Dr Ustazah Siti Mastura Muhammad dan P.042 Tasek Gelugor, Dato’ Wan Saiful Wan Jan serta P.044 Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Menariknya, kemenangan di Permatang Pauh meranapkan penguasaan hampir 4 dekad oleh keluarga Dato’ Seri Anwar Ibrahim; yang berganti selepas beliau kepada isterinya, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, diikuti anaknya, Nurul Izzah Anwar.

Jelas sokongan diterima apabila Fawwaz menang dengan majoriti 5,272 undi daripada 37,638 undi diperolehinya, berbanding Nurul Izzah dengan 32,366 undi; sedangkan pada PRU14 Nurul Izzah menang majoriti 15,668 undi dari 35,534 undi diperolehinya.

Tanggal 12 Ogos 2023, menyaksikan angkatan Pakatan Harapan (PH) yang bergabung bersama Barisan Nasional (BN) gagal menyekat gelombang besar rakyat apabila hampir satu pertiga tembok kekuatan DAP telah diruntuhkan PN.

Sedangkan mengikut kiraan di atas kertas daripada keputusan PRU15 lalu, PN dijangka hanya dapat memenangi enam DUN pada PRN ini, namun ternyata momentum gelombang sokongan rakyat telah berganda.

PN menang 11 daripada 40 DUN Pulau Pinang menerusi tujuh calon PAS di N.01 Penaga, N.03 Pinang Tunggal, N.04 Permatang Berangan, N.05 Sungai Dua, N.11 Permatang Pasir N.20 Sungai Bakap dan N.39 Pulau Betong.

Manakala menerusi calon BERSATU di N.06 Telok Ayer Tawar, N.10 Seberang Jaya, N.12 Penanti N.40 Telok Bahang, selain terdapat kerusi-kerusi yang sangat berpotensi untuk dimenangi pada PRU akan datang.

Akhirnya, ragu-ragu ‘kalau’ yang diganti dengan suntik semangat ‘yakin boleh’ oleh Tuan Guru Presiden PAS pada tahun 2016 tersebut telah dan sedang menjadi kenyataan, meletakkan PAS kini menerajui gelombang di Pulau Pinang.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 16/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -