Kerajaan tanpa DAP: Isu Islam, Melayu perlu bebas politik

Sidang media badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam-Melayu Seru Tubuh Kerajaan Ummah Tanpa DAP di Negeri Sembilan dan Selangor yang berlangsung di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada hari ini, 14 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

BANGI: Isu-isu berkaitan agama Islam dan bangsa Melayu di Malaysia perlu dilindungi tanpa perlu terikat dengan sebarang ideologi parti politik.

Presiden Pertubuhan PERKASA Malaysia, Syed Hassan Syed Ali berkata, seharusnya parti-parti politik perlu bersatu dalam melindungi hak-hak berkaitan bangsa Melayu-Islam.

“Ini termasuklah dengan isu kalimah Allah SWT, isu perumahan, kerakyatan, pembelajaran, dan apa sahaja berkaitan dengan agama Islam dan bangsa Melayu,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa isu LGBT juga perlu diberikan perhatian oleh parti-parti politik Melayu sendiri memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara Islam.

- Advertisement -

“Seharusnya ahli-ahli politik perlu memberi keutamaan kepada rakyat terlebih dahulu dan bukannya melebihkan kepentingan politik semata-mata,” katanya dalam sidang media badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam-Melayu Seru Tubuh Kerajaan Ummah Tanpa DAP di Negeri Sembilan dan Selangor yang diadakan di Hotel Tenera, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) Wan Hairul Anuar; Pengerusi Ummah Mohd Zai Mustafa; Timbalan Pengerusi Ummah, Dr. Kamarulzaman Yusuf; Pengerusi Sekreteriat NGO ISLAM Selangor, Datuk Nazilah Idris; dan Pengerusi NGO Ummah Negeri Sembilan, Rosmin Adam. 

Sementara Wan Hairul pula berkata, pelbagai isu berkaitan agama Islam telah ditimbulkan oleh DAP termasuklah Sekolah Islam Persendirian (SIP) yang turut diganggu oleh parti tersebut semenjak mereka memegang jawatan dalam kerajaan.

“Ini merupakan satu perkara yang tidak sepatutnya boleh disentuh oleh mana-mana pihak sekalipun kerana dalam perlembagaan negara ini sendiri pun menekankan pemeliharaan agama Islam dalam negara ini,” hujahnya.

Isu kalimah Allah SWT antara yang memerlukan sokongan parti-parti politik Melayu agar bergabung dalam melindungi melindungi hak-hak berkaitan bangsa Melayu-Islam di Malaysia. (FOTO HIASAN)

Beliau menegaskan bahawa rakyat di negara ini yang majoritinya umat Islam menginginkan penyatuan ummah tanpa mengira sebarang parti politik supaya DAP tidak boleh bertapak di  Selangor dan Negeri Sembilan.

“Maka, mana-mana ahli politik bangsa Melayu beragama Islam perlu ketepikan ideologi-ideologi parti politik dan perlu menekankan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu sebagai perkara pertama yang diberikan keutamaan,” katanya.

Mohd Zai dalam pada itu, menggesa perkara tersebut perlu digerakkan tanpa memberikan sebarang pun alasan. 

“Kami sendiri tiada sebarang masalah apa pun parti politik yang terdiri daripada bangsa Melayu beragama Islam memerintah kerajaan tetapi yang pastinya bukan dalam kalangan DAP.

Barisan wakil NGO Islam Melayu yang hadir (dari kiri), Wan Hairul, Kamarulzaman, Syed Hassan, Mohd Zai, Nazilah dan Rosmin.

“Ini kerana kita sendiri boleh lihat mereka sendiri dah mula mengganggu  status agama Islam dan bangsa Melayu sendiri maka ianya perkara yang sesekali tidak boleh diterima,” jelas beliau. 

Dr. Kamarulzaman pula menegur sikap sesetengah ahli politik bangsa Melayu yang hanya mementingkan diri sendiri kerana perkara tersebut telah menyumbang kepada isu-isu tersebut yang berlaku pada masa ini. 

“Apa yang berlaku kepada kekalahan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 baru-baru ini boleh jadi sebagai peringatan daripada Allah SWT bahawa kegilaan kuasa tidak menyelesaikan apa pun masalah. 

Parti-parti politik Melayu digesa memberu perhatian terhadap isu LGBT di negara ini memandankan Malaysia merupakan sebuah negara Islam . (FOTO HIASAN)

“Maka, pentingnya ahli-ahli politik berbangsa Melayu perlu mempunyai kesedaran dan persefahaman dengan menolak sebarang kepentingan peribadi supaya kebajikan rakyat umat Islam dapat dijaga dengan baik,” ujarnya. 

Beliau turut menegur mana-mana pengundi berbangsa Melayu untuk memainkan peranan dalam memilih mana-mana pemimpin bangsa Melayu yang berjiwa rakyat.

Hal tersebut disokong oleh Nazilah yang menurut pandangan beliau, perkara sebegini diperlukan bagi melindungi agama Islam dan kepentingan bangsa Melayu.

“Maka, saya menyeru setiap ahli politik berbangsa Melayu supaya ketepikan ego politik masing-masing kerana perkara sebegini perlu diberikan keutamaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2023

- Advertisement -