Aminuddin perlu jelas isu skandal balak YNS

- Advertisement -

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun digesa agar memberi penjelasan tentang isu skandal balak membabitkan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) yang telah berlarutan sehingga empat tahun.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan, Cikgu Rafiei Mustapha skandal ini melibatkan tanah hutan simpan kekal seluas 2,000 hektar.

“Ia melibatkan tanah hutan simpan kekal seluas 2,000 hektar yang telah dibahagikan sebanyak 500 hektar setiap syarikat.

“Skandal ini telah dilaporkan kepada SPRM oleh aktivis masyarakat, Chegu Bard, pada 18 September 2020.

“Namun, sehingga hari ini tidak ada sebarang perkembangan terkini tentang kes ini dimaklumkan kepada umum oleh pihak SPRM,” ujarnya dalam satu sidang media di Kompleks PAS Negeri Sembilan petang tadi. (Foto atas)

Tambahnya, tender itu dipercayai tidak dijalankan menurut proses kerana ianya tidak dijalankan secara terbuka dan hanya diiklankan menerusi Papan Notis Kenyataan YNS yang terletak di Tingkat Bawah Bangunan YNS.

Beliau yang juga calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Pilah menambah, dikatakan bahawa senarai cadangan penerima konsesi telah dinyatakan sekali lebih awal melibatkan empat buah syarikat.

Selain itu jelas beliau, dua daripada empat syarikat yang menerima pembahagian tersebut kelihatan mempunyai hubungan antara satu sama lain manakala harga tender iuga terlalu rendah iaitu sekitar RM1,000 setiap ekar.

Tambahnya, salah seorang Ahli Lembaga Pengarah yang tidak bersetuju dan tidak mahu menandatangani persetujuan tersebut dikatakan telah cuba mendapatkan sebut harga dari syarikat lain sebagai perbandingan dan mendapati nilainya adalah RM15 juta berbanding RM5 juta yang diperolehi dari syarikat asal.

“Fakta-fakta di atas menimbulkan kecurigaan kemungkinan besar wujud salah laku dan kelemahan tatakelola dalam pentadbiran kerajaan PH-BN Negeri Sembilan bercanggah dengan apa yang sering diuar-uarkan oleh PH-BN.

“Kerana itu pihak kami memohon penjelasan daripada pihak Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, adakah benar wujud segala salah laku yang diperincikan di atas?

“MB Negeri Sembilan harus menjawab segera isu ini supaya dapat membersihkan kerajaan negeri daripada isu yang telah berlarutan sehingga empat tahun ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/8/2023

- Advertisement -