PASIR PUTEH: Usaha kerajaan negeri memperkenalkan program Bulan Sembahyang setiap bulan Rejab pernah mendapat tentangan pemimpin Umno.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, program untuk mendidik anak-anak dengan amalan solat.
Katanya, setiap tahun kerajaan negeri mengadakan sambutan Bulan Sembahyang dengan mengajak anak-anak muda dan remaja datang ke masjid.
“Melalui usaha itu kita menggalakkan orang Islam sembahyang di masjid kerana ia adalah perintah Allah Taala,” katanya pada ceramah Grand Final di Dataran Bahtera Tok Bali, Pasir Puteh, malam tadi.
Hadir sama Pesuruhjaya PAS negeri Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Ketua Penerangan PAS Kelantan Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Yang Dipertua PAS Pasir Puteh Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan calon PN DUN Semerak Nor Sham Sulaiman.
Wan Roslan yang juga calon PN DUN Pengkalan Kubor berkata, komitmen PAS melaksanakan syariat Islam diterjemahkan dengan pelaksanaan melalui undang-undang.
Antaranya kata beliau pengharaman premis judi, kawalan penjualan arak dan penganjuran program Islamik bagi memberi pahala kepada pengundi yang memenangkan PAS.
“Dengan kuasa politik yang ada perkara serupa juga dilakukan PAS di Kedah, Terengganu dan Perlis kerana mahu berkongsi pahala dengan rakyat.
“Jadi kerja kita ialah menyuruh melakukan makruf dan mencegah kemungkaran, sebab itulah kita mengeluarkan arahan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jangan buka kedai judi dan arak.
“Almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah sebut orang yang mengundi PAS menyebabkan arak, judi aktiviti mungkar dihentikan boleh pahala, itu pentingnya kuasa yang kita miliki sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!