Isu Sungai Klang RM700 juta: Pemuda PAS buat laporan polis

Muhamad Suffi (dua dari kiri) dan Kamarul (dua dari kanan) ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Gombak, Selangor pada hari ini, 9 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emri)
- Advertisement -

SELAYANG: Satu laporan polis telah dibuat oleh Pemuda PAS terhadap projek pembersihan Sungai Klang bernilai RM700 juta yang diberi kepada sebuah syarikat tanpa melalui proses tender terbuka.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Gombak, Muhamad Suffi Kamari berkata, tindakan tersebut yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Dato Seri Amirudin Shari adalah tidak berintegriti dan perlu diambil tindakan undang-undang.

- Advertisement -

“Seharusnya mana-mana syarikat yang ingin menguruskan Projek Mitigasi Sungai Klang di bawah Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) Selangor perlu mendapatkan tender yang sewajarnya tetapi mengapa perkara sebegini tidak berlaku ketika di bawah pemerintahan Menteri Besar Selangor terkini?” tegasnya kepada HarakahDaily.

Beliau ditemui ketika hadir membuat laporan polis mengenao isu gerbang Maritim Selangor (SMG) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Gombak, di sini, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan pemilikan syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB) yang mengendali projek tersebut yang mana pemegang sahamnya merupakan  BERJAYA Land Berhad sebanyak 55 peratus.

“Perkara sebegini juga telah menimbulkan satu persoalan memandangkan syarikat negeri Selangor sendiri tidak mempunyai kawalan penuh terhadap pemilikan syarikat tersebut.

“Ia ditambah lagi dengan Menteri Besar Selangor sendiri adalah pengarah kepada syarikat tersebut dan siap menerima elaun lagi daripada projek sebegitu,” ujarnya.

Tambah beliau, melalui projek tersebut sahaja hutang syarikat LLBSB kepada kerajaan negeri Selangor telah dihapuskan dan sebanyak 600 ekar tanah milik kerajaan negeri telah diberikan kepada syarikat tersebut.

“Apabila kita ingin memberikan sebuah projek kepada mana-mana syarikat wajib memastikan laporan kewangannya sentiasa bagus walau apa pun,

“Namun, mengapa kerajaan negeri boleh memberikan projek sebegini kepada LLBSB yang sememangnya mempunyai masalah kewangan?” soalnya lagi..

Sehubungan itu, beliau berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PRDM) agar  melakukan siasatan dengan lebih lanjut mengenai perkara ini.

“Laporan polis ini telah saya buat bersama sama Ketua Pemuda PAS kawasan Selayang, Kamarul Jamaludin bagi menguatkan laporan Ahli Jawatankuasa Penerangan PERIKATAN NASIONAL (PN) Pusat, Badrul Hisham Shaharin (Che’gu Bard) terhadap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah dilakukan pada 6 Ogos lalu; dan setiap rakyat Selangor berhak untuk mengetahui kebenaran berhubung perkara tersebut,”  katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2023

- Advertisement -