Kelantan pandang serius pihak cabar Kanun Jenayah Syariah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memandang berat isu cabaran terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan di Mahkamah Persekutuan yang melibatkan kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman lawan Kerajaan Kelantan terhadap pelaksanaan enakmen terbabit.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kes itu melibatkan cabaran kepada kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal Undang-Undang Jenayah Syariah di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Pelembagaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan negeri pada 3 Ogos lepas mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) bertindak sebagai pencelah dalam kes tersebut.

“JAHEAIK Sebagai pihak yang berkepentingan dalam menjaga pelaksanaan Undang-Undang Islam di Kelantan khususnya berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019.

“Ini memandangkan kes berkenaan akan memberikan kesan yang sangat besar terhadap kepentingan Islam, Undang-Undang Syariah dan Kerajaan Negeri Kelantan secara keseluruhan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Oleh itu kata beliau kerajaan negeri menyeru umat Islam termasuk tokoh-tokoh individu dan badan–badan bukan kerajaan (NGO) Islam turut memainkan peranan masing-masing dengan sewajarnya.

“Semoga dengan langkah ini dapat membela dan mempertahankan Undang-Undang Syariah khususnya di Kelantan,” katanya.

Sebelum ini seorang peguam kelahiran Kelantan dan anaknya mengemuka cabaran Perlembagaan berhubung 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1).

Sementara itu dalam perkembangan berkaintan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilapor berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam bagi memastikan undang-undang syariah yang telah digubal oleh Badan Perundangan Negeri dilaksanakan sebaiknya. – HARAKAHDAILY 7/8/2023

- Advertisement -