KUALA TERENGGANU: Ahli Umno memilih memberi undi kepada PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) menjadi isyarat dan teguran kepada kepimpinan parti itu untuk kembali kepada perjuangan asal.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak, berkata, keluarnya mereka daripada Umno kerana merasakan dikhianati oleh pemimpin atasan sendiri dan tidak rela bersekongkol dengan PH terutamanya DAP.
“Dalam waktu kempen ini gelombang perubahan itu mula menular dari satu tempat ke tempat yang lain, ramai akar umbi Umno menzahirkan sokongan kepada PAS/PN.
“Contohnya di DUN Tepoh, orang kuat Umno di beberapa cawangan seramai hampir 100 orang telah mengisytiharkan keluar Umno dan memberikan sokongan kepada PAS.
“Begitu juga di kebanyakan DUN lain dan gelombang penolakan terhadap BN-PH ini tidak terhenti di situ, ramai lagi dijangka akan keluar daripada Umno,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media PAS Terengganu, Plaza Padang Negara, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri sangat mengalu-alukan kehadiran dan sokongan ahli Umno.
“Semoga ia mampu menguatkan PAS/PN bagi membina negeri yang sejahtera,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!