Angin pengundi baharu makin memihak kepada PN

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Angin pengundi baharu semakin memihak kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) apabila memasuki pusingan kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15.

- Advertisement -

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, ikatan Bersatu, PAS, Gerakan dan rakan strategik PN dilihat pilihan terbaik dan alternatif terutama dalam kalangan pengundi muda, pengundi baharu dan pengundi belia.

“Ini satu perubahan mega yang bakal ‘mentsunamikan’ Pakatan Harapan (PH),” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosial beliau.

Justeru, ujar Ketua Penerangan Bersatu Malaysia itu, tidak mustahil Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan di bawah PH tumbang kali ini.

“Mereka terlupa kerana terlalu asyikkan serang Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya yang mesra dengan panggilan Tok Li.

Tambahnya, beliau berani mengatakan berdasarkan kempen-kempen secara terus, bersemuka, rumah ke rumah, kelompok malahan secara media sosial baharu, seminggu lalu, peralihan sokongan jelas dilihat terarah kepada PN.

Menurutnya lagi, pengundi muda dan baharu mahu menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan perpaduan ala madani itu.

Malahan, ujarnya pengundi Melayu tidak mengira muda, belia dan baharu akan menitiknoktahkan calon Umno Barisan Nasional (BN).

Katanya, kebenaran fakta beralihnya pengundi orang muda diterjemahkan muka depan dalam akhbar Utusan Malaysia di mana 96 peratus orang muda mahu mengundi.

Malahan, ujarnya orang muda sebanyak 68.7 peratus mahukan calon yang bebas rasuah.

Beliau juga mendapat maklum jentera kempen dan tinjauan gerak saraf PN, mendapati orang muda, baharu dan belia berpandangan imej kerajaan perpaduan ala madani yang mempunyai kluster-kluster mahkamah adalah buruk.

Katanya, orang muda sudah tidak sabar menolak PH, Umno BN, DAP.

Tambahnya, terlalu banyak bercakap, retorik, mencari kesalahan orang dalam kerajaan perpaduan ala madani semakin ketara.

Razali menambah, rakyat dan pengundi sudah mual dengan gaya kempen PH dan perpaduan itu.

“Tidak menampakkan langsung elemen keharmonian, malahan menjurangkan elemen perpaduan itu sehingga mengelirukan rakyat, apakah sebenarnya elemen madani selama ini?” kata beliau yang bertanding di Dun Kijal menentang penyandang yang juga Pengerusi Umno negeri, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menurutnya lagi, para pengundi mengakui mahukan perubahan, tambah baik dasar dan tidak berpuas hati.

“Ayuh, 2.8 juta pengundi muda, keluar mengundi beramai-ramai pada 12 Ogos ini. PN adalah suara rakyat yang sebenarnya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/8/2023

- Advertisement -