Kepalsuan cintamu terserlah

- Advertisement -

DUA insan bercinta. Saling mendambakan. Kata rindu, cinta, kasih dan sayang akan sering diungkapkan untuk menghangatkan hubungan itu. Dalam dakapan mesra, cinta mereka makin mekar berbunga, tiada suara yang dapat menghalang, tiada tangan yang dapat melepaskan ikatan ini. Tiada pemisah antara mereka, hanya takdir yang mampu membelah cinta mereka.

Tidak dapat melihat wajah, atap rumah sebagai pengganti melepas rindu. Tiada kidungnya menjadi halwa telinga, telefon ditatap mengganti suara. Gambarnya dibelek berulang-ulang, namanya diratib-ratib, menjadi zikir sebagai ubat melepas rindu. Bila dia susah kita resah, bila dia jauh, kita mengeluh. Inilah lambang cinta sejati.

Tetapi sayang, ia tidak wujud di dalam hubungan cinta yang baharu terbina oleh PH dan Umno. Konon hangatnya cinta mereka itu, hanyalah sekadar perkataan untuk diberikan gambaran, bukan situasi yang sedang berjalan. Cinta mereka dikata dibina bagi menyelamatkan rakyat, akan tetapi menyelamatkan daripada apa? Sepanjang puluhan tahun, rakyat terseksa itu di bawah Umno-BN. 22 bulan juga rakyat merana kerana janji PH yang dibohongi.

Sekarang keduanya bergabung, dua penjahat utama negara dalam politik, penipu besar. Berpelukan, dengan wajah yang berseri, tetapi seri itu hanya di wajah beberapa orang pimpinan Umno sahaja kerana menanti hasil hubungan mereka. Sedang dalam masa yang sama, pimpinan lain dan ahli bawahan mereka terpedaya.

Hadirnya Anthony Loke dari DAP di Terengganu, tidak disambut Umno. Tiada rasa hormat kepada rakan sepakatan. Rakan mereka dari PH yang bertanding di kerusi selain daripada kerusi yang Umno bertanding, dilaporkan terkial-kial mencari pelampung bagi menentang Gelombang Hijau PAS. Mereka dibiarkan lemas oleh Umno, bagaikan tidak diakui sebagai rakan.

Inilah kepalsuan dalam hubungan mereka. Kerjasama mereka adalah bagi melepaskan tengkuk beberapa ketua mereka yang dalam bahaya diambil tindakan atas kesalahan salah laku mereka. Ia bukan bagi menyelamatkan rakyat kerana rakyat jelas terseksa di bawah rejim mereka dahulu.

Kini mereka datang kembali menagih sokongan rakyat yang mereka telah sia-siakan dahulu. Konon dengan pakatan yang kuat. Ya memang kuat, tetapi kuat menipu dan berbohong, tanpa rasa malu. Jika sesama mereka sendiri mereka saling meragui, jadi kenapa kita, rakyat yang cerdik mahu menumpang kapal yang penuh keraguan ini? Akan selamatlah pelayaran ya? Kata Jamal Abdullah dalam lirik lagu Lanchang Kuning….

“Kalau nakhoda, kalau nakhoda tidaklah faham, tidaklah faham
Alamatlah kapal, alamatlah kapal akan tenggelam…”

MOHD NASIR ABDULLAH
6 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 6/8/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!