PERIKATAN NASIONAL tawar RM2 bilion bantu rakyat Selangor

Muhyiddin (dua dari kanan), Azmin (dua dari kiri) dan Ahmad Yunus (kiri) dalam Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor pada malam 4 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAIlLY/J Kemala)
- Advertisement -

SHAH ALAM: Sebanyak 112 tawaran manifesto bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion telah dibentangkan oleh Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, khusus buat rakyat Selangor.

Muhyiddin berkata, manifesto PERIKATAN NASIONAL Selangor yang dilancarkan itu merangkumi usaha menangani isu kos sara hidup, masalah pekerjaan, integriti, pendidikan dan pendapatan rakyat, khususnya golongan marhaen.

- Advertisement -

“Manifesto PERIKATAN NASIONAL menawarkan tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran untuk rakyat Selangor.

“Tujuh tunjang itu meliputi Semarak Masyarakat Harmoni; Sejahterakan Kehidupan Rakyat; Junjung Prinsip Tadbir Urus dan Politik Yang Bersih; Ekonomi Masa Hadapan Yang Utuh; Wanita Teras Masyarakat dan Ekonomi Negeri; Modal Insan Gemilang; dan Alam Lestari dan Infrastruktur Bestari.

“Perkara itu terkandung dalam tawaran Perikatan Nasional (PN) Selangor kepada rakyat di negeri ini jika diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Tawaran PERIKATAN NASIONAL Negeri Selangor di sini pada malam Jumaat.

Turut hadir ialah Pengerusi PN negeri Selangor, Dato’ Seri Azmin Ali; Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi; serta calon-calon PERIKATAN NASIONAL lain bagi PRN di Selangor menjelang 12 Ogos ini.

“Antara tunjang utama PN yang menarik adalah untuk mencapai modal insan gemilang melalui pemerkasaan  Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Rendah Agama (SRA).

“Justeru, PN mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi membina sekolah agama rakyat integrasi sains dan teknologi yang baharu, serta menyelenggara dan menaik taraf sekolah agama rakyat sedia ada,” jelasnya.

Selain itu, PN juga akan memperkenalkan kadar baharu elaun bulanan kepada penggerak masjid dan surau, iaitu Imam sebanyak RM1,700, bilal sebanyak RM800; serta dan siak dan nazir masing-masing sebanyak RM600 setiap seorang. 

Tawaran lain yang menarik ialah dana sebanyak RM312 juta setahun bagi program Bantuan Prihatin Keluarga Selangor.

“Inisiatif ini dijangka dapat membantu 65,000 keluarga yang memerlukan menerusi pemberian bantuan bulanan bernilai RM400 bagi pembelian barangan asas,” ujar beliau.

Rakyat Selangor juga bakal menikmati pengecualian bayaran parkir di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan di Selangor Utara, serta untuk lesen perniagaan bagi golongan penjaja, gerai dan pasar dan bayaran sewa tapak peniaga perniagaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk penjaja yang berdaftar. 

Elaun khas tahunan sekurang-kurangnya dua bulan gaji turut ditawarkan untuk anggota perkhidmatan awam di negeri Selangor.

Golongan kaum ibu tidak ketinggalan dengan tawaran PN khusus untuk mereka geran RM10,000 untuk 30,000 perniagaan milik usahawan wanita.

Berikut ialah senarai penuh 35 tawaran utama yang dikemukakan dalam manifesto berkenaan iaitu:

  • Mewujudkan satu agensi khusus kerajaan negeri bagi memperkasa usaha untuk meningkatkan taraf sosioekonomi golongan minoriti dengan bajet RM50 juta.
  • Skim Prihatin Sihat iaitu manfaat rawatan asas dan perlindungan takaful bagi 250,000 penerima manfaat.
  • Elaun khas minumum dua bulan kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri Selangor.
  • Inisiatif Bantuan Prihatin Keluarga Selangor, iaitu bantuan buat 65,000 keluarga yang memerlukan dengan bantuan bulanan RM400 bagi pembelian barangan asas bernilai RM312 juta.
  • Skim Mikro Kredit Hijrah iaitu bantuan modal perniagaan dengan dana pusingan berjumlah RM500 juta untuk dimanfaatkan lebih 100,000 peniaga kecil.
  • 20 meter padu air percuma kepada pemegang akaun dengan pendapatan isi rumah RM15,000 dan ke bawah.
  • Insentif Dana Makanan Selangor (DaMaS) iaitu Hab Mega Makanan bagi meningkatkan hasil pengeluaran, termasuk tanaman, ternakan dan perikanan secara berskala besar dan berteknologi tinggi berjumlah RM150 juta.
  • Mewujudkan Dana Khas Tani Bangkit bagi membantu usahawan tani muda untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran agromakanan melalui penggunaan teknologi dan automasi berjumlah RM100 juta.
  • Skim EduStart Selangor iaitu RM1,500 kepada semua pelajar tahun pertama anak Selangor yang akan mendaftar masuk ke institut pengajian tinggi (IPT) termasuk pelajar-pelajar institut pengajian guru (IPG) dan RM500 kepada semua pelajar baharu matrikulasi dan tingkatan enam anak Selangor.
  • Gerai Prihatin Rakyat iaitu penawaran makanan asas pada harga berpatutan.
  • Dana Foodtruck Selangor sebanyak RM50 juta: Penyediaan pinjaman tanpa faedah kepada penjaja untuk memiliki food truck bagi mengembangkan perniagaan mereka
  • Dana Khas Selangor Harmoni berjumlah RM10 juta iaitu peruntukan buat badan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program memupuk keharmonian masyarakat berbilang kaum.
  • Dana Restart Selangor berjumlah RM50 juta: Pembiayaan penggantian peralatan perniagaan yang rosak akibat bencana atau musibah bagi membolehkan mereka menstruktur semula perniagaan yang terjejas.
  • InvestSelangor (RM50 juta), bermatlamat bagi mempermudah, menggalak dan mempercepat pelaburan industri masa hadapan bernilai tinggi.
  • Dana Digital Niaga Selangor (DiNiS) bernilai RM50 juta bagi membantu peniaga muda Selangor mengoptimumkan potensi perniagaan melalui penggunaan teknologi digital.
  • Skim Selangor Riders, iaitu bantuan berjumlah RM700 setahun buat belia yang terlibat dalam industri p-pangilan (p-hailing) untuk mereka mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan motosikal.
  • Inisiatif Bantuan Prihatin Nelayan Selangor (RM5 juta setahun), iaitu bantuan seperti enjin bot dan peralatan akuakultur.
  • Dana RM100 juta bagi membina sekolah agama rakyat integrasi sains dan teknologi yang baharu serta menyelenggara dan menaik taraf sekolah agama rakyat.
  • Pengecualian cukai pintu bagi rumah kos rendah, rumah kampung tradisi dan Kampung Bagan untuk tempoh lima tahun.
  • Menaikkan Elaun Bulanan Tambahan kepada penggerak masjid dan surau seperti imam (RM1,700), bilal (RM800) serta siak dan nazir (RM600).
  • RM50 juta Dana Khas Selangor Juara bagi mengembalikan kegemilangan Selangor dalam arena sukan.
  • Insentif Selangor Destinasi Pilihan sebanyak RM200 juta bagi merancakkan aktiviti pelancongan kebudayaan dan menyediakan tarikan baharu di kawasan Utara Selangor.
  • Menambah Pusat Aktiviti Warga Emas di seluruh Selangor serta memperkasa aktiviti di pusat-pusat sedia ada melalui sumbangan dana sebanyak RM5,000 setahun.
  • Inisifatif Lahir Selangor iaitu pemberian wang tunai secara terus sebanyak RM500 buat ibu yang baru melahirkan anak.
  • Melancarkan Inisiatif GigEduSelangor berjumlah RM1,500 buat riders p-panggilan (p-hailing) anak Selangor yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
  • Inisiatif Wanita Waja, iaitu bantuan sebanyak RM500 sebulan bagi tempoh tiga bulan, bantuan khidmat kaunseling dan motivasi dan bantuan latihan kemahiran dan pementoran khusus buat wanita yang kematian suami atau berpisah dengan suami.
  • Dana Bantuan PIBG (RM5 juta): Dana Bantuan PIBG sebanyak RM5,000 setahun kepada semua sekolah kerajaan di Selangor.
  • Menyediakan bantuan yuran KAFA kepada murid-murid daripada keluarga yang memerlukan dengan jumlah keseluruhan RM6 juta setahun.
  • Pusat Kesejahteraan Darul Ehsan, yang menyediakan perkhidmatan kesihatan mental, rawatan dialisis dan rehabilitasi di setiap daerah.
  • Inisiatif Selangor Prihatin Anak Sekolah (SPAS) – Tawaran bantuan tambang bas sekolah sebanyak RM100 sebulan kepada 20,000 anak Selangor daripada keluarga yang memerlukan.
  • Dana Khas RM50 juta untuk agensi kerajaan negeri dan syarikat swasta bagi membuka pusat asuhan baharu di tempat kerja
  • Memperkenalkan Inisiatif Asuh Prihatin Selangor (APS) iaitu bantuan yuran pengasuhan kanak-kanak sebanyak RM150 setiap bulan untuk 65,000 kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan.
  • Pengecualian bayaran parkir kenderaan di kawasan letak kenderaan bawah seliaan PBT di Selangor Utara.
  • Lima tahun pengecualian sepenuhnya bayaran sewa tapak perniagaan milik PBT bagi penjaja yang berdaftar di seluruh negeri Selangor.
  • Pengecualian fi lesen selama lima tahun untuk golongan penjaja, gerai dan pasar.

Sehubungan itu, Muhyiddin menegaskan angin perubahan bakal berlaku di Selangor melalui PRN 2023 menjelang 12 Ogos ini.

“Insya-Allah, berkat sokongan padu seluruh rakyat di Selangor, baik (orang) Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, PERIKATAN NASIONAL akan beroleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini; dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih, prihatin dan stabil.

“Saya dapat merasakan angin perubahan sedang bertiup kencang di negeri Selangor dan mudah-mudahan ia akan membentuk suatu gelombang sokongan rakyat yang kuat dan padu kepada PERIKATAN NASIONAL,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2023

- Advertisement -