Manifesto PN Selangor kesinambungan era Khalid Ibrahim

- Advertisement -

KUALA LANGAT: Sebahagian tawaran manifesto PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor dianggap kesinambungan program yang dilaksanakan semasa Tan Sri Khalid Ibrahim menerajui kerajaann Selangor pada tahun 2008.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi PN Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tawaran manifesto itu membawa mesej Selangor Baharu sebagai kesinambungan program keprihatinan PN kepada rakyat.

Katanya, di era pentadbiran Tan Sri Khalid pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada seluruh rakyat Selangor berdasar meter individu dilaksanakan.

Kata beliau, manifesto yang dilancarkan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, PN Selangor menawarkan pemberian termasuk air percuma kepada keluarga yang berpendapatan di bawah RM15,000 sebulan.

“Saya harap ia akan dapat memberi impak kepada 100 peratus keluarga berpendapatan di bawah RM15,000 sebulan.

“Tawaran PERIKATAN NASIONAL Selangor juga termasuk inisiatif kepada ibu-ibu yang bersalin sebanyak RM500.

“Petugas-petugas masjid juga mendapat inisiatif yang baik,” katanya ketika ditemui pada sesi ziarah penduduk di Batu 7 Sijangkang, di sini hari ini.

Manifesto PN Selangor dilancarkan oleh Pengerusi PN Pusat, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Shah Alam malam tadi menawarkan 112 tawaran kepada rakyat negeri Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, PN Selangor turut menghargai wanita-wanita yang berkerjaya dengan mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja.

“Kita tidak mahu menganggu wanita bekerjaya terutama golongan profesional yang terpaksa berhenti kerana faktor menjaga anak,” ujarnya yang mempertahankan kerusi Dun Sijangkang pada PRN kali ini.

Kata beliau, tawaran itu sudah pasti dapat memberi kebaikan kepada rakyat Selangor di saat ekonomi yang masih merosot di era kerajaan campuran PH-BN.

Beliau yakin dan percaya PN Selangor mampu melaksanakan manifesto itu berdasarkan kekuatan parti gabungan PN yang berjaya mentadbir negara ketika berhadapan dengan pandemik Covid19.

Bekas Exco kerajaan negeri Selangor ini yakin PN Selangor dapat melaksanakan manifesto itu jika diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negeri selepas 12 Ogos ini. – HARAKAHDAILY 5/8/2023

- Advertisement -