Andalusia Travel, KUISCELL kendali program Bahasa Arab di Madinah

Ida Riswana (tiga dari kiri) dan Ahmad Fuad (tiga dari kanan) serta (dari kiri), Md Daud, Ibrahim, Mohamad Adzib dan Farid dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama KUISCELL Bagi Musim Umrah 1445H (2023/2024) Dan Musim Umrah 1446H (2024/2025) di Universiti Islam Selangor (UIS), di Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor pada hari ini, 4 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/ Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KAJANG: Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) kini mengorak langkah mengadakan kolaborasi dengan anak syarikat Universiti Islam Selangor (UIS), KUISCELL untuk  mengendalikan program pengajian Bahasa Arab di Madinah.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, melalui Program Kibar Madinah 4.0 dengan slogan Menelusuri Jejak Bahasa Rasulullah itu, seramai 90 pelajar terpilih berpeluang menyertai kursus intensif Bahasa Arab di Universiti Islam Madinah selama 25 hari, manakala baki lima hari pula adalah bagi menunaikan ibadah umrah di bawah bimbingan mutawwif kelahiran UIS.

- Advertisement -

“Insya-Allah, melalui program ini, selain daripada mengikuti  kursus Bahasa Arab Fushah (rasmi) di Universiti Islam Madinah, peserta juga dibawa ke tempat-tempat ziarah yang istimewa di Madinah dan Makkah di samping aktiviti-aktiviti harian yang lebih mendedahkan mereka kepada penggunaan Bahasa Arab Ammiyah (pasar),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama KUISCELL Bagi Musim Umrah 1445H (2023/2024) Dan Musim Umrah 1446H (2024/2025) di UIS, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin; Pengerusi Lembaga Pengarah KUISCELL, Dato Setia Mohamad Adzib Mohd Isa; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KUISCELL, Ahmad Fuad Mat Ali; Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Dato’ Md Daud Che Ngah; dan Naib Canselor UIS, Prof Madya Dato’ Dr Farid Ravi.

Menurut Ida Riswana, adalah diharapkan melalui  kerjasama antara KUISCELL dan Andalusia Travel tersebut, ia akan dapat membuka jalan yang lebih luas kepada invididu yang ingin mahir dan fasih dalam Bahasa Arab yang merupakan Bahasa Kalamullah, al Quranul Karim.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kursus intensif ini tidak terikat hanya untuk orang dewasa, malah menggalakkan golongan remaja untuk mengambil peluang melalui program yang ditawarkan.

“Kami juga percaya program ini seharusya direbut oleh anak-anak muda yang ingin menguasai Bahasa Arab, sekiranya mereka berhasrat untuk merebut peluang memulakan karier di Arab Saudi dan negara-negara di Timur Tengah yang kita semua ketahui sedang giat memacu ekonomi dan pembangunan yang sangat pesat menjelang 2030,” jelasnya.

Tambah beliau, buat masa ini, pakej yang disediakan bermula daripada RM20,000, lengkap dengan bayaran yuran universiti, tiket penerbangan, penginapan dan makan minum sepanjang 30 hari di Universiti Islam Madinah.

“Pada masa akan datang, kolaborasi bersama KUISCELL juga mungkin akan diadakan di negara lain yang juga menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi mereka,” ujarnya sambil menambah bahawa UIS adalah sebuah universiti yang sangat istimewa kepada Andalusia Travel.

“Melalui univerisiti inilah (UIS) lahirnya sebilangan besar para mutawwif yang berkhidmat dengan Andalusia Travel.

“Malah, lebih 100 orang bekas pelajar UIS kini berkhidmat sebagai mutawwif Andalusia Travel dan menjadi idaman banyak lagi agensi lain,” katanya. .- HARAKAHDAILY 3/8/2023

- Advertisement -