Tinggalkan kampus demi bantu rakyat

- Advertisement -

KUBANG PASU: “Saya boleh sahaja kekal sebagai profesor dan hidup selesa di kampus, tetapi saya pilih terjun ke politik demi agama, bangsa dan tanah air.

“Saya ingin menyumbang kepada kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi membangunkan dasar yang lebih hebat,” kata calon DUN Jitra, Dr Haim Hilman ketika ditemui pada program Jelajah PN Best DUN Pantai Merdeka, semalam.

- Advertisement -

Lebih mesra disapa dengan panggilan Prof Haim, beliau terjun ke dunia politik selepas 23 tahun bertugas sebagai pendidik di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

“Tiada ceramah politik di Tiktok saya sebelum ini, tetapi pada hari ini, saya berada di pentas politik bukan untuk menjadi politikus,” ujarnya.

Prof Haim memulakan kempen semalam dengan menyantuni peniaga di Pasar Basah Jitra pada waktu pagi. Sambutan peniaga dan orang ramai di sekitar pasar itu begitu menggalakkan.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Kubang Pasu, Ustaz Zulhazmi Osman serta ahli jawatankuasa PAS kawasan berkenaan.

Prof Haim kemudian menunaikan solat jenazah seorang penduduk kampung yang meninggal dunia di Kampung Tanjung Pauh.

Beliau dan petugas kempen juga menziarahi mantan Ketua Dewan Ulama PAS Kubang Pasu, Ustaz Salleh serta solat Asar berjemaah di surau berhampiran rumahnya.

Pada sebelah petang, Prof Haim bersama penduduk mengacau bubur asyura di Warong Chabok, Tok Kesop. Beliau turut dihidang kopi terbalik, iaitu keunikan yang tiada di restoran lain.

“Hari ini unik sikit, orang kampung jamu kopi terbalik. Siapa pernah cuba, orang Jitra boleh cuba di Warong Chabok, Jalan Kubang Lembu, Jitra,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

- Advertisement -