Ahli PAS perlu elak tindakan rugikan parti

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ahli-ahli PAS diingatkan tidak melakukan tindakan yang boleh merugikan parti dan perjuangan ketika menghadapi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sekarang.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setiap keputusan dibuat pimpinan atasan yang tidak bercanggah dengan syarak wajib dipatuhi.

- Advertisement -

“Mendukung keputusan parti, walaupun tidak bersetuju, itu adalah realiti sebagai ahli parti. Suka atau tidak suka, bila sudah menjadi keputusan, kita perlu terima,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di sini, hari ini.

Isnin lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu bahawa Timbalan Yang Dipertua PAS Langkawi, Mazlan Ahmad, digugur keahlian PAS kerana bertanding sebagai calon bebas.

Tindakan serupa juga dikenakan terhadap Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Langkawi, Safwan Hanif Shafie kerana bertanding sebagai calon bebas.

Menurut Takiyuddin, laporan Setiausaha PAS Langkawi mendapati lapan individu melanggar ketetapan parti melibatkan calon, wakil calon, pencadang serta penyokong di dua DUN, iaitu Air Hangat dan Kuah.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan menyanggah keputusan yang ditetapkan parti dibimbangi boleh mencetuskan natijah tidak diingini.

Menurutnya, kejadian yang berlaku di Langkawi perlu dijadikan pengajaran supaya tidak berulang pada masa hadapan.

“Sebenarnya kita (PAS) telah berusaha, tetapi pada saat akhir, watikah yang dikeluarkan, dua DUN berkenaan (Air Hangat dan Kuah) ditandingi calon PN dari Bersatu.

“Suka tak suka, bila dah jadi keputusan kena akur dan terima. Saya tahu sebahagian jentera kecewa dengan keputusan itu tapi ia adalah perkara biasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

- Advertisement -