Tumpukan gerak kempen, bukan Exco bayangan

- Advertisement -

KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) Kelantan tidak perlu tergopoh gapah mengemukakan bayangan anggota Exco kerajaan negeri memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) belum selesai.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, tidak perlu calon ‘bayangan’ untuk dinamakan buat masa sekarang kerana semua gerak kerja tertumpu menghadapi kempen pilihan raya.

- Advertisement -

Lagi pun katanya, semua calon yang ditampilkan PN Kelantan sekarang mempunyai kelayakan untuk memimpin kerajaan negeri selepas ini.

“Setakat ini, perkara utama yang perlu dihadapi terlebih dahulu ialah kempen pilihan raya memandangkan PRN belum selesai.

“Perkara berkenaan akan diputuskan selepas PRN pada 12 Ogos ini,” katanya yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS kepada media selepas Majlis Pelancaran E-Wallet Kelantan Pay di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Ustaz Ahmad mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan untuk kali terakhir.

Beliau berkata, pencalonannya di DUN Pasir Pekan memasuki penggal ketujuh dan sudah tiba masa memberi laluan kepada calon lain yang lebih muda selepas ini.

“Kita akan umum mereka yang layak dan tidak perlu bayangan buat masa sekarang kerana semua yang bertanding layak disenarai sebagai Exco,” katanya.

Menurutnya, buat masa sekarang, beri peluang kepada calon yang bertanding memfokuskan kepada gerak kerja masing-masing sehingga hari pengundian. – HARAKAHDAILY 1/8/2023

- Advertisement -