Rakyat makin positif terhadap petugas PN

Ustaz Abdullah Hussin
- Advertisement -

KUALA PILAH: “Kalau dahulu kita pergi rumah pengundi kadang-kadang tak dilayan. Kadang-kadang tak ada yang nak bercakap dengan kita.

“Sekarang sampai ajak masuk rumah. Tahan dulu ajak minum air. Banyak tempat begitu. Ini memperlihatkan sambutan rakyat yang begitu positif,” kata Pesuruhjaya PAS Johor.

- Advertisement -

Ustaz Abdullah Husin berkata, terdapat perbezaan yang sangat ketara dari sudut penerimaan rakyat terhadap petugas PERIKATAN NASIONAL (PN) ketika turun padang berkempen sekarang.

Katanya, situasi itu menggambarkan kecenderungan rakyat semakin tinggi kepada PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 di Negeri Sembilan.

Menurutnya ketika mengiringi Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha yang juga calon DUN Pilah di kampung dikenali kubu Umno turut diterima dengan baik.

“Itu suatu perkembangan yang positif. Mudah-mudahan akan dapat diterjemahkan di kertas undi 12 Ogos ini,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Pilah.

Cikgu Rafiei ditentang calon PH, Nur Zunita Begum Mohd Ibrahim. Kerusi DUN Pilah sebelum ini disandang Mohamad Nazaruddin Sabtu (PH).

Beliau berkata, ramai pengundi yang ditemui berjanji akan mengundi PN walaupun masih menjadi ahli Umno.

Ustaz Abdullah berkata, ramai ahli Umno yang ditemui terguris dengan tindakan pucuk pemimpin parti itu menjalinkan kerjasama dengan DAP.

Namun, beliau menasihat petugas PN tidak terlebih yakin walaupun terdapat gelombang sokongan yang sangat kuat sekarang.

“Jangan sampai ‘over confident’ (terlebih yakin) seperti yang selalu diulang oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/7/2023

- Advertisement -