PRN Selangor: PH vs PN sengit! 

- Advertisement -

MENJELANG PRN Ogos ini, pelbagai kajian dan analisa dibuat untuk membuat jangkaan awal trend pengundi. Saya tertarik dengan satu kajian yang telah dibuat oleh sebuah NGO dinamakan QGA yang  menunjukkan keunikan dan dinamiknya pengundi di Selangor. Sample kajian ini menggunakan kaedah stratified random sampling mirip komposisi rakyat Selangor yang berbilang bangsa yang terdiri daripada Melayu sebanyak 60 peratus, Cina 30 peratus dan India 10 peratus. 

Rakyat Selangor berbelah bahagi 

Dalam dapatan mereka, kita lihat seolah-olah rakyat Selangor berbelah bahagi sama ada untuk mengekalkan sokongan kepada pentadbiran Kerajaan PH yang telah bergabung dengan BN atau tidak. 31 peratus responden masih mahu mengekalkan sokongan yang ada. Manakala 33 peratus pula ingin memberikan peluang kepada gabungan PN yang dilihat banyak menguasai kerusi-kerusi majoriti Melayu serta mampu menjuarai isu-isu rakyat. PN dalam kempen-kempennya menfokuskan pembaharuan dalam menangani  kos sara hidup, menambah baik pembiayaan pendidikan serta meningkatkan perkhidmatan kesihatan dengan mengambil contoh rangsangan ekonomi serta faedah ketika mereka menjadi kerajaan sewaktu pandemik COVID-19.

Penerimaan penyokong PH terhadap BN 

Gabungan kerajaan campuran yang dijenamakan sebagai kerajaan perpaduan pula dilihat tidak mendapat keyakinan yang kuat dari rakyat Selangor. Ini dapat diterjemah dengan hanya 13 peratus memilih gabungan PH-BN. Baru-baru ini saya menonton satu podcast BH TV bertajuk: ‘Selangor Kita Punya…Tapi Siapa Kita?’ pada 26 Julai 2023 . Wartawan Berita Harian bercerita mengenai satu himpunan PH ketika mana Sany dalam ceramahnya menyuruh para hadirin menyatakan sokongan terhadap PH dan disambut dengan sorakan gemuruh. Sebaliknya, apabila hadirin diminta menyatakan sokongan terhadap BN, hadirin menyambut dengan gelak tawa. Adakah ini boleh dilihat sebagai penolakan secara sinikal oleh penyokong PH terhadap BN? Jika diperhati di media sosial, pimpinan dan penyokong PH sering disindir kerana tidak konsisten dalam pendirian berkaitan isu rasuah dan ketirisan Kerajaan BN yang menjadi bahan kempen ketika PRU15 lepas. Mungkin ini sedikit sebanyak berbekas dalam minda dan hati penyokong PH. Manakan tidak, baru 8 bulan yang lepas mereka menempelak BN dan sekarang mereka terpaksa menelan hempedu kempen mereka sebelum ini. 

Laungan No Anwar, No DAP tinggal slogan? 

Jika kita pergi lebih mendalam, kita lihat sokongan rakyat terhadap gabungan BN masih lagi kekal rendah seperti PRU ke-15 yang lalu. Dapatan menunjukkan hanya 8 peratus responden memilih mereka untuk menerajui semula Selangor. Ini memberikan indikator bahawa terdapat undi protes dari rakyat Selangor penyokong BN dalam memilih wakil rakyat dari PH yang merupakan rakan gabungan politik semasa mereka di peringkat pusat. 

Sebahagian penyokong BN terutama Umno masih lagi terngiang-ngiang di telinga mereka ucapan Presiden melaungkan ‘No Anwar,No DAP’ sewaktu Perhimpunan Agung Umno. Melihat kejanggalan sosok pemimpin PH yang lantang mengkritik mereka sebelum ini memegang bendera Umno dan menyanyikan lagu Umno mungkin belum mampu membeli jiwa penyokong BN terutama Umno untuk menyokong kerajaan perpaduan yang digagaskan oleh Presiden mereka.

Sebanyak 17 peratus atas pagar menjadi penentu 

PN dan PH perlu memberi perhatian kepada 17 peratus responden yang tidak memilih mana-mana gabungan. Peratusan responden atas pagar ini menyatakan akan mengundi pada PRN kali ini tetapi tidak menetapkan gabungan mana yang menjadi pilihan mereka. Antara faktor penentu undi mereka ialah calon-calon yang diketengahkan oleh gabungan parti politik, dan tawaran-tawaran setiap gabungan. Mana-mana gabungan yang dapat memberikan tawaran yang menarik dan memenuhi kehendak semasa mungkin akan dapat memenangi hati pengundi atas pagar ini dan berpeluang cerah menerajui Selangor.

Apapun faktor undi atas pagar dan undi ‘swing’ gabungan sedia ada selain daripada ketentuan Allah S.W.T bakal menentukan keputusan PRN di Selangor kali ini. Gelombang rakyat untuk melihat kepada kerajaan ditadbir lebih baik bakal menentukan undi mereka nanti.

https://www.facebook.com/bhonline/videos/835466424601331

DATO’ DR AB HALIM TAMURI
Calon N.38 Paya Jaras
Mantan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia
Mantan Rektor UIS – HARAKAHDAILY 29/7/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100071242500710/posts/pfbid023KXAAdnYKRCEMeiu2uZXVKkL5eZ71muY7574wS1GTcubHpFeHErcyuYyHFQQLpDFl/?mibextid=cr9u03

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -