Peluang pekerjaan di DUN Merbau Pulas

Siti Ashah memohon restu daripada suaminya sebelum menuju ke Pusat Penamaan Calon, Pejabat Tanah dan Daerah Kulim, di Padang Serai, Kedah pada 29 Julai 2023.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas antara perkara yang akan diberi perhatian.

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, beliau tidak mahu melihat golongan muda khususnya terpinggir dan tidak mempunyai pekerjaan.  

- Advertisement -

“Banyak pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan negeri khususnya di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech dan saya mahukan anak-anak muda khususnya di DUN Merbau Pulas ini mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan nanti,” katanya ketika ditemui HarakahDaily di sini, hari ini. 

Ashah yang juga berkata sekiranya beliau sekali lagi diberi kepercayaan rakyat mewakili DUN berkenaan, akan memberi perhatian kepada infrastruktur selain menyambung usaha-usaha pembangunan dan kebajikan yang telah dilaksanakan. 

“Beberapa kawasan di DUN Merbau Pulas ini sering dilanda banjir kilat. Sebab itu kali ini saya akan memberi perhatian lebih kepada infrastruktur,” jelasnya lagi. 

Selain itu ujarnya, beliau bersama Majlis Perbandaran Kulim juga telah merangka beberapa stategik untuk mengurangkan kesesakan jalanraya khususnya di Hi-tech dan pekan Kulim terutama di waktu pagi dan petang.

“Kita akan beri perhatian juga infrastruktur untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kulim dan Hi-Tech,” tegas beliau. 

Bercakap berkenaan sokongan rakyat kepada PN, Pengerusi Wanita PN Kedah berkata, setakat ini kebangkitan rakyat memihak kepada gabungan parti itu sangat tinggi. 

“Kalau PRU di penggal-penggal lalu, PAS agak ‘struggle’ untuk mendapatkan majoriti tinggi, kalau menangpun undian tidak begitu banyak. Saya menang dahulupun majoriti 486 undi sahaja.

“Namun kali ini saya yakin, insya-Allah PN akan menang dengan majoriti tinggi. Bukan Merbau Pulas sahaja tetapi di DUN-DUN lain juga,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2023

- Advertisement -