Hantar isyarat kepada Anwar: ‘Masa kamu sudah berakhir’

- Advertisement -

SIK: PERIKATAN NASIONAL (PN) yang berjaya membuktikan keupayaan dan pencapaian dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah telah menimbulkan cemburu, sakit hati dan iri hati Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Calon PN N.24 Jeneri, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahkan berkata, kehidupan aman damai dan sungai jernih dinikmati rakyat negeri ini juga tiba-tiba bagai didatangi kerbau yang membawa lumpur.

Jelas beliau, Kedah kini dihadapkan dengan tuduhan fitnah dan adu domba yang sangat luar biasa lagi pelik dan percaya ketewasan mereka nanti akan menyebabkan negeri ini berdepan serangan lebih dahsyat dari ketika ini.

“Termasuk sebar fitnah dan berita tidak benar selagimana mereka ada kuasa di peringkat Persekutuan dengan menggunakan agensi kerajaan untuk memburukkan PN. 

“Jadi, mantapkan hati kita, ketahanan diri kita untuk terus yakin kepada PN. Kita tekad, jadikan PRN ini untuk tamatkan riwayat PMX dan Kerajaan PH-BN,” ujar beliau di Pejabat Majlis Tindakan DUN Belantik, di sini sebentar tadi.

Beliau dan calon PN N.23 Belantik, Ahmad Sulaiman terdahulu diiringi sekitar 7,000 penyokong PN masuk ke Pusat Penamaan Calon di Pejabat Tanah dan Daerah Sik, di sini jam 9:15 pagi tadi.

Menurut beliau, Kerajaan PH-BN diterajui Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan konco-konconya hanya ghairah mencari salah lawan politik mereka, menyebabkan tiada fokus diberikan kepada pentadbiran.

Sedangkan kesali beliau, masalah-masalah rakyat seperti kenaikan harga barang dan sebagainya masih gagal diselesaikan di mana semua itu merupakan janji mereka ketika menjadi pembangkang.

Bidas Sanusi yang juga Menteri Besar, jika perkara demikian menjadi sikap pemerintahan beliau, tentulah Kerajaan Negeri Kedah juga tidak dapat memberi tumpuan kepada pentadbiran.

“Kerana semasa mereka berjanji mereka tidak ikhlas, kerana mereka kemaruk kuasa. Berulang-ulang kali berjanji selama 25 tahun ini nak, nak sangat jadi Perdana Menteri. (Tetapi) bila Allah bagi dia jadi PM, dia tak boleh buat apa, tipu sahaja. 

“Jadi (PRN) inilah peluang untuk kita hantar isyarat kepada PMX dan kerajaannya, (bahawa) ‘masa kamu sudah berakhir’,” ujarnya mengajak untuk PRN ini menjadi referandum atau isyarat besar untuk Anwar dan PH-BN berundur dari Kerajaan Pusat.

Menurutnya, walaupun PRN kali ini hanya di enam negeri, tetapi keikhlasan kerja dan kesungguhan PN dalam pemerintahan ke atas rakyat akan membuka hati banyak pihak untuk mengundi gabungan itu kali ini.

“Kita doa, Allah alih hati manusia, buka hati orang Umno, orang PKR, orang PAN untuk undi PN. Untuk bina semula negara ini. Walaupun PRN ini hanya di enam negeri, tetapi ia boleh jadi referandum atau isyarat besar.

“(Iaitu) kepada Anwar dan PH-BN untuk undur dari Pusat. Semua ini kuasa Allah untuk buka hati, untuk sedarkan apa terjadi di sekitar kita melihat apa dilakukan kepada PMX dan konco-konconya,” harap beliau. – HARAKAHDAILY 29/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -