Kenyataan komplot terhadap Sanusi tidak merujuk kepada PDRM

- Advertisement -

PAS Kedah meneliti kenyataan balas Datuk Seri Ayob Khan berhubung dakwaan wujudnya komplot terhadap YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor selaku Menteri Besar Kedah.

Bagi merungkai kekeliruan yang timbul, PAS Kedah ingin menjelaskan bahawa kenyataan Menteri Besar Kedah mengenai komplot untuk menjatuhkan beliau sejak enam bulan yang lalu tidak sama sekali merujuk kepada pihak PDRM.

Kenyataan tersebut juga tidak bersangkutan dengan tangkapan pihak PDRM ke atas YAB Sanusi baru-baru ini walaupun secara zahirnya terdapat beberapa keraguan terhadap prosedur yang dikenakan ke atas beliau. 

PAS Kedah ingin menegaskan bahawa YAB Sanusi tidak sesekali bermusuh dengan badan penguatkuasa yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Perseteruan yang sebenarnya adalah dengan Menteri yang bertanggungjawab, bukan kepada badan penguatkuasa itu sendiri.

Kenyataan ini bukan andaian, malahan disebut sendiri oleh YAB MB Sanusi dalam siri ceramah beliau. “Saya bukan bermusuh dengan Polis, tapi menteri yang jaga KDN”.

Walau bagaimanapun, PAS Kedah mengharapkan agar badan penguatkuasa khususnya pihak PDRM mahupun SPRM dapat menjalankan tugas dengan penuh profesional. 

Sewajarnya tindak tanduk badan penguatkuasa ini tidak dikuasai oleh mana-mana pihak yang berkepentingan kerana ia kelak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti badan penguatkuasa dalam negara.  

Badan penguatkuasa bukan sahaja seharusnya bebas bertindak melindungi kepentingan awam, bahkan mesti dilihat bebas. 

‘Justice must not only be done, but must also be seen to be done’

Sekian.

DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
26 Julai 2023 / 8 Muharram 1445H – HARAKAHDAILY 26/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -