Kalau parti itu menang, negeri diperintah bukan-Melayu

- Advertisement -

SHAH ALAM: Orang Melayu mesti mengambil iktibar daripada sejarah berkenaan wilayah Tanah Melayu yang dahulu diserahkan kepada orang asing di mana kini bukan lagi milik negara iaitu Singapura.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan, jangan kerana tertarik oleh sogokan pemberian wang atau tertarik kepada orang asing, lalu bersikap bermurah hati kepada mereka.

Katanya, sikap murah hati orang Melayu menyebabkan ada yang sanggup menyerahkan tanah dan negara ini kepada orang lain, sedangkan kelak akan menyebabkan ditimpa nasib buruk ke atas generasi.

Beliau melontarkan nasihat itu dalam program Townhall Bicara: Negarawan dan Agamawan Untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Convention Centre, di sini malam tadi.

“Singapura sudah jadi negara lain. Diperintah oleh orang lain dan di sana orang Melayu tidak dapat layanan, tidak dapat lindungan sama sekali. Sebab itu walaupun kita kita suka bermurah hati, tetapi pada-padalah takat itu saja cukuplah. 

“Sebab itu dalam pilihan raya umpamanya, kita perlu keluar beramai-ramai. Bukan untuk memberontak. Bukan untuk mengganas, hanya hanya untuk mengundi,” serunya agar mengundi parti-parti yang mendukung agenda kemelayuan.

Menurutnya, orang Melayu mesti mempertahankan negara ini dan berjuang demi bangsanya sebagaimana generasi dahulu mampu mengalahkan British dan mencapai kemerdekaan.

Beliau juga berharap PRN nanti negeri Selangor akan dimenangi oleh parti-parti kesatuan orang Melayu, kerana jika parti sebaliknya menang, negeri ini akan diperintah oleh bukan-Melayu.

Sedangkan menurut beliau, kawasan orang Melayu adalah terbanyak dan majoriti di Selangor berbanding kawasan yang diduduki oleh orang bukan-Melayu di seluruh negeri ini.

“Kalau parti yang lain itu dapat kemenangan maka negeri yang majoritinya adalah orang Melayu akan diperintah oleh bukan-Melayu. Dan mereka tidak akan memberi perlindungan kepada orang Melayu.

“Dan tidak akan menjayakan orang Melayu supaya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum-kaum yang lain,” peringat beliau. – HARAKAHDAILY 26/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -