Pemilihan semula PM Thai 27 Julai mungkin ditunda

Pita Limjaroenrat berjabat tangan tangan dengan ahli parlimen sebelum meninggalkan parlimen di Bangkok, Thailand pada 19 Jul 2023. (FOTO: AP)
- Advertisement -

BANGKOK: Pemilihan semula Perdana Menteri membabitkan calon tunggal, Pita Limjaroenrat yang dijadualkan pada Khamis (27 Jul) ini berkemungkinan akan ditunda.

Pejabat Ombudsman dalam kenyataannya pada Isnin (24 Jul) berkata, ia akan membuat permohonan kepada Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan sama ada keputusan parlimen bagi pemilihan semula calon Perdana Menteri Pita Limjaroenrat pada minggu lepas melanggar perlembagaan, lapor AP.

- Advertisement -

Setiausaha Agungnya,  Keirov Kritteeranon dalam sidang media berkata, pihaknya juga akan meminta mahkamah untuk mengambil langkah bagi menangguhkan proses pemilihan Perdana Menteri Thailand yang sepatutnya dijadualkan pada Khamis ini, sehingga keputusan mahkamah keluar.

Terdahulu, pada Rabu (19 Jul) lalu, keputusan undian ahli Dewan Perwakilan dan Negara Thailand telah menghalang Pita, 42 yang merupakan Ketua Parti Move Forward yang memenangi pilihan raya lalu, daripada menyandang jawatan Perdana Menteri Thai yang baharu.

Sejumlah 395 ahli parlimen telahpun bersetuju bahawa kekalahan Pita kali ini adalah sama seperti usul yang ditolak, yang mana peraturan mesyuarat parlimen melarang usul tersebut daripada dikemukakan semula untuk pertimbangan dalam sesi parlimen yang sama.

“Setelah berunding, Ombudsman telah sama-sama bersetuju bahawa tindakan yang berlaku pada 19 Julai  lalu di parlimen, iaitu satu badan yang mempunyai kuasa negara, adalah satu tindakan yang telah melanggar perlembagaan,” kata  Keirov. – HARAKAHDAILY 25/7/2023

- Advertisement -