PRN: Dengar dan taat

Foto hiasan.
- Advertisement -

PILIHAN Raya Negeri (PRN) bakal berlaku 12 Ogos 2023 ini. PAS bersama rakan perjuangan dalam PERIKATAN NASIONAL berhasrat mencapai kejayaan semaksima mungkin di enam negeri nanti. Kemenangan ini penting, bukan sahaja untuk kelangsungan pentadbiran di enam negeri, tetapi juga ia akan memberi tekanan kepada kerajaan pusat nanti.

- Advertisement -

PAS pula sedang berada dalam PERIKATAN NASIONAL. Dalam Pilihan RFaya Umum ke 15 baru-baru ini, majoriti yang diperolehi oleh PAS, PN sangat mengagumkan, di luar jangkaan. Gelombang dan momentum ini mesti berterusan hingga PRN nanti.

Apabila berada dalam PERIKATAN NASIONAL, tentulah PAS berbincang dengan rakan seperjuangan untuk membahagikan kerusi dan meletakkan calon. Prinsip menang-menang, bertolak-ansur, tiada perebutan, tiada boikot, menolak ketidakpuasan hati, semuanya mesti diambil kira.

Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak dalam pemilihan calon dan kerusi. Pimpinan pula melihat dari atas untuk semua kawasan di seluruh negara, sedangkan pendukung dan penyokong mungkin hanya melihat di tempatnya sahaja. Justeru, di sinilah prinsip dengar dan taat sangat-sangat dituntut.

Perjuangan PAS berdasarkan prinsip agama yang teguh. Dasar dan matlamatnya sangat murni. Ia melangkaui dari hanya semata-mata mahukan kemenangan di depan mata, tetapi juga mendapat keredaan Allah dan balasan abadi di akhirat sana. Oleh itu, pimpinan, ahli, pendukung dan penyokong mesti menghayati kenapa mereka berjuang bersama PAS ini, termasuk memahami tentang konsep dengar, taat dan wala’.

Biarlah musuh menggelar walaun, kerana kita memang diajar untuk wala’ memberi kesetiaan kepada Allah, rasul dan orang mukmin yang ada sifat iman sebenar, termasuk dalam perjuangan menegakkan Islam.

Panduan kita dari Al-Quran dan sunnah. Ayat-ayat Al-Quran, hadis Nabi mengenai prinsip dengar dan taat sangat banyak. Sirah Nabi SAW bersama para sahabat dalam pelbagai situasi menjadi iktibar dan petunjuk buat kita.

Pimpinan PAS, mulai dari pimpinan tertinggi hingga pimpinan bawahan sentiasa mengulang-ulang semua ini. Namun, untuk halwa telinga, ia sangat mudah, tetapi bila berlaku ujian di medan perjuangan, maka ketika itulah akan terlihat setakat mana kita hadam benar-benar tentang prinsip dengar dan taat itu.

Kini, nama calon dan kerusi yang dipertandingkan sedang ‘panas’. Ada yang suka. Ada yang tidak suka. Ada yang mahukan calon si fulan si fulan. Ada yang mahukan yang lain. Di sini, dengar dan taat berada dalam ‘mode’ praktikal yang sebenar, bukan di dalam kertas kerja, usrah, tamrin dan ceramah sahaja. Kita mahu menang kerusi sebanyak mungkin. Jangan kerana ketidakpuasan hati di atas sebab-sebab tertentu, kita kalah dan kehilangan kerusi.

Bekerjalah untuk memenangkan perjuangan, bukan sekadar untuk kepuasan. – HARAKAHDAILY 24/7/2023

Penulis adalah Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiah Badan Perhubungan PAS Terengganu.

- Advertisement -