Sanusi sudah kemuka surat tuntutan kepada Saifuddin

Ekoran tuduhan fitnah kononnya mencuri REE dan wang MARRIS

- Advertisement -

SIK: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah memfailkan surat tuntutan kepada Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung dua fitnah yang dibuat Setiausaha Agung PKR itu.

Beritahunya yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, surat tuntutan tersebut telah dihantar peguam beliau melalui e-mail pada malam tadi dan akan membuat serahan tangan pada hari ini.

Letter of Demand ni, kalau dia tak jawab dalam masa tempoh yang diberikan, kita akan mulakan proses saman. Wajib dah saman tak boleh biar punya. Dia (buat) tuduhan (atas) saya.

“Dia kata kita (rakyat) lantik jadi MB suruh mentadbir negeri, bukan jadi pencuri REE (unsur nadir bumi). Dia tuduh saya jadi pencuri REE. Dia (juga) tuduh saya guna peruntukan MARRIS RM1.6 bilion.

“Patut jadi duit untuk penyelenggaraan jalan (MARRIS) di kata (tuduh saya) buat benda lain. Walaupun duit itu semua daripada (era) Merdeka (1957) lagi. Semua itu saya (dituduh) guna untuk buat benda lain. 

“Dia longgokkan kesalahan Menteri-menteri Besar Umno sebelum (tahun) 2014 semuanya atas kepala saya padahal saya tak tahu apa pun. Ha…. tunggu Pudin, hang tunggu, selamat menjawab! Hoi dia ingat dia seorang reti menyerang?” ujarnya.

Menurut Sanusi, mereka cuba mengimejkan beliau kononnya berwatak samseng, sedangkan dalam menjalankan peranan sebagai Menteri Besar, selorohnya beliau lebih lembut berbanding bahulu.

Menyatakan perbezaan dirinya dari Saifuddin Nasution, beliau menyatakan bahawa Menteri tersebut banyak bermain politik di mana mempunyai karakter ahli politik yang sama semasa menjadi pembangkang mahupun kerajaan.

Jelasnya, kerja mereka hanya mencari salah orang lain, namun kemudian pihak lain pula mencari salah mereka sehingga ada kes-kes yang terpaksa berdepan pendakwaan mahkamah dan pemenjaraan.

“Dia ada satu karakter saja, dia jadi kerajaan pun otak dia pembangkang, dia jadi pembangkang pun otak pembangkang. Pasai tu Kerajaan PH (Pakatan Harapan) dulu tahan 22 bulan sahaja,” bidasnya.

Terang Sanusi, ketika menjadi kerajaan pada tempoh itu, ahli-ahli politik tersebut merasakan mereka lebih pandai dan sukar untuk serasi bersama para pegawai perkhidmatan awam.

“Hat kalah (Saifuddin) jadi menteri kanan, hat menang (Rafizi Ramli) jadi menteri kiri. Tak tahu duk buat apa. Formula-formula terpadam habis semua. Hat kalah itu pun, semacam saja. Tiap-tiap hari guna agensi kerajaan, guna kementerian, cari salah orang.

“Cari salah Tan Sri Muhyiddin (Yassin), cari salah Dato’ (Seri) Hamzah Zainuddin, cari salah. Rafizi cari salah Dato’ (Sri) Tuan (Ibrahim Tuan Man). Dato’ Tuan saman dia, selak (senyap) sampai la ni. 

“Semua strategi sebagai ahli politik (mereka) pakai satu cara sahaja. Jadi kerajaan tak boleh macam itu. Jadi kerajaan kena ubah karakter. Kita dah jadi kerajaan, masuk dalam pejabat, masuk di agensi, masuk di kementerian. 

“Dia ada pegawai. Ada jabatan-jabatan ada unit-unit, ada macam-macam. Hang kena pi berkawan dengan depa. Ni tahu nak order je. Arah itu arah ni suruh buat itu, suruh buat ni. Dia gi tempat lain, buat kerja lain. 

“Masuk dalam sungai orang duk mengubang, keruh habis. Tak boleh, puak ni tak boleh (bertahan) jadi kerajaan lama. Pasal dia tak dak seni (mentadbir) langsung,” bidas Sanusi. – HARAKAHDAILY 21/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -