SkimPAS semakin meluas penerimaan di Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Badan Kebajikan PAS Negeri Perlis (BAKEPS) telah memperkukuhkan lagi kerjasama dengan Skim Kifalah Ahli PAS (SkimPAS) di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP).

Sehubungan itu, ke arah meningkatkan lagi penyertaan dari seluruh negeri ini dengan sokongan penuh Badan Perhubungan PAS Negeri, satu memorandum persefahaman telah ditandatangani kedua pihak kelmarin.

Sejak tahun 2018, hasil penjenamaan semula, SkimPAS telah berjaya membantu lebih 650 ahli PAS di negeri ini yang ditimpa musibah dengan bayaran manfaat mencecah RM3.5 juta kepada pihak penerima. 

Pengurus Besar SkimPAS, Abdul Razak Mohamed berkata, dengan hanya mencarum sebanyak RM55 setahun, pelbagai manfaat akan diperolehi, sekali gus meringankan beban waris terutama ketika ditimpa musibah atau bencana.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi 2 LKKPP memberitahu, SkimPAS merupakan produk parti bertujuan untuk melindungi ahli-ahli terutama sekali para aktivis dan sukarelawan yang sentiasa ‘on call’.

Tambahnya, SkimPAS juga diwujudkan dalam menyahut seruan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk ahli menyokong usaha-usaha fisabilillah seperti ini, selain tujuan ukhuwah dan dakwah.

Menurutnya, malah semua komitmen itu selari dengan visi LKKPP di mana kini diketuai Dr Rosni Adam selaku Pengerusinya untuk menjadikan PAS sebagai sebuah parti berkebajikan ‘Pilihan’ Rakyat menjelang tahun 2025.

Majlis tandatangan sempena 1 Muharam 1445H itu juga disifatkannya sebagai satu permulaan terbaik untuk usaha-usaha kebajikan semakin berkembang di negeri Indera Kayangan ini.

BAKEP diwakili Hassan Seman dan majlis turut disaksikan Setiausaha PAS Perlis, Baharuddin Ahmad dan Pengerusi LKKP PAS Perlis, Wan Hassan Ismail. – HARAKAHDAILY 21/7/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!