MSU tetap kekalkan Sanusi calon utama PRN ini 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor tetap dikekalkan sebagai calon pilihan pertama untuk terus bertanding pada PRN yang akan diadakan beberapa hari lagi.

Majlis Syura Ulama (MSU) PAS memutuskan demikian kerana Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu belum hilang kelayakan untuk bertanding, demikian kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Sanusi hanya baharu berdepan proses mahkamah di mana perbicaraan akan berlangsung pada Oktober nanti yakni selepas PRN enam negeri selesai. 

Beritahunya, PAS bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berhubung keputusan yang akan dibuat oleh pihak mahkamah selepas proses perbicaraan dijalankan ke atas Sanusi nanti. 

“Kita ready, apa-apa yang bakal berlaku sebab keputusan itu mengambil masa yang panjang. Kita akan tunggu dululah perbicaraan dan keputusan nanti, selepas itu baru parti akan buat keputusan. 

“Apa yang kita lihat, pertuduhan itu lebih bersifat kepada usaha untuk menggugat beliau, lebih bersifat usaha untuk menekan. Beliau (kononnya) dianggap menghina raja, saya berulang kali dengar (ucapan Sanusi) tak ada disebut pun institusi diraja Selangor,” ujarnya. 

Ustaz Tuan Ibrahim dalam pandangannya menyifatkan isu ke atas Sanusi hanya akan menambahkan lagi sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) termasuk dalam kalangan ahli dan penyokong parti lawan. 

Terangnya, ini berikutan kekecewaan dan kemarahan awam melihat seorang Menteri Besar ditangkap jam 3 pagi ketika dia sudahpun bersedia untuk hadir ke mahkamah sepertimana dijadualkan. – HARAKAHDAILY 20/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -