Tindakan kerajaan ke atas Sanusi bangkit semangat rakyat

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

ARAU: Tindakan Kerajaan Madani terhadap Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dianggap tidak melemahkan perjuangan PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN).

- Advertisement -

Malah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung menambah sokongan rakyat terhadap PN dan PAS.

Katanya, tindakan secara tergesa-gesa terhadap Menteri Besar Kedah dengan terus mendakwa ketika siasatan masih dilakukan dipertikaikan rakyat.

“Apa yang berlaku itu seperti tindakan terlalu tergesa-gesa khususnya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin menjelang tiba.

“Apa pun kita hormati proses perundangan dan ahli PAS diminta supaya terus bertenang dan mengelak melakukan sebarang provokasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Sokongan padu rakyat akan diterjemahkan pada PRN 12 Ogos hadapan termasuk peluang terbuka luas bagi menguasai Selangor dalam pilihan raya tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Awal pagi Selasa lepas Sanusi ditahan sekumpulan pegawai dan anggota polis ketika menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan terus didakwa di mahkamah di Selayang atas dakwaan menghasut.

Katanya juga kejadian itu dianggap sebagai permainan politik kerajaan bagi membunuh karakter Menteri Besar Kedah terutamanya ketika hampir menjelang PRN.

“Adakah tidak ada masa yang lebih sesuai dikenakan pendakwaan tersebut atau tunggu selepas habis PRN,” katanya.

Tuan Guru Hashim bagaimanapun berharap ahli dan penyokong PAS supaya memohon doa kepada Allah SWT agar memberi pertolongan kepada Sanusi.

Media sebelum ini melaporkan ucapan Muhammad Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor yang dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

Muhammad Sanusi dikatakan menghina Sultan Selangor apabila membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, Hashim berkata, sokongan terhadap Sanusi dan PN akan bertambah kuat meskipun berdepan situasi berkenaan.

“Sokongan kuat itu akan diterjemahkan di dalam PRN termasuk kita mampu merampas Selangor dalam pilihan raya tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/7/2023

- Advertisement -