PRN15 bakal jadi kempen paling kotor?

- Advertisement -

DALAM sejarah berkempen PRU, kita sering melihat media mempunyai kuasa penentu kepada keputusan pilihan raya. Sering disebut sebagai 3M iaitu dana atau duit (money), jentera, (machinery) dan juga media. Tetapi dalam ketiga-tiga ini, media dilihat sebagai senjata terkuat bagi memberikan kemenangan. Jika duit ada, ditabur, tetapi rakyat tidak tahu, maka kurang maknanya. Jika jentera kuat, tetapi media tidak dikuasai, akhirnya jentera akan terkulai layu juga. Media berperanan mengubah minda pengundi atas pagar samada dalam bentuk menyerang atau menerang.

Dalam perang terdahulu, banyak kisah mengenai peranan media yang boleh memberikan kesan besar terhadap musuh. Contoh terbaik dalam Perang Khandak, Rasulullah menerima keislaman seorang musuh yang mahu beriman kepada Allah. Lalu diarahkan Rasulullah agar jangan dihebahkan keislaman Sahabat itu, tetapi hendaklah dia masuk semula ke dalam pasukan Ahzab bagi menyebarkan cerita bagi memecah belahkan sesama musuh. Strategi ini berjaya membantu kemenangan Islam. Ini adalah satu bentuk media zaman Rasulullah.

Dalam Perang Salib, beberapa kali tentera Islam kalah dan menang. Walaupun penduduk Kristian dan Yahudi yang tinggal di Baitul Maqdis tahu akan keadilan pemerintahan Islam, tetapi saudara seagama mereka yang tinggal di luar kawasan, berusaha untuk merampas kembali tanah suci itu. Niat mereka mahu membantu saudara mereka yang kononnya menderita di sana. Ini adalah kerana sebaran oleh pemimpin musuh mengatakan bahawa penganut Kristian dan Yahudi disiksa oleh pemerintahan Islam di sana. Semangat mereka membara atas peranan media tentera Salib yang memalsukan keadaan sebenar di sana.

Jerman menggunakan ejen perisikan mereka, Gestapo bagi membuat propaganda terhadap kekuatan Jerman dan sering mengugut untuk menangkap rakyat di negara jajahan mereka yang cuba menentang Jerman. Manakala Yahudi menggunakan kaedah menyalurkan maklumat yang sama, tetapi ia bertujuan bagi melemahkan Jerman. Pada zaman Perang Dingin, KGB dan CIA sentiasa berlumba-lumba menyebarkan propaganda kekuatan masing-masing bagi melemahkan musuh.

Semenjak sekian lama, Yahudi menguasai media selepas mereka berkuasa di dunia ini. Mereka boleh membuatkan pembaca sasaran mereka menyokong mereka, menggetap bibir menumpang geramkan musuh mereka. Adakalanya Yahudi berjaya membuatkan dunia menangis dan bersimpati kepada mereka dengan drama-drama yang menyentuh perasaan, terutama ketika mereka kalah. Inilah yang disebut sebagai petikan terkenal dunia ‘mereka yang memukul, mereka yang menangis’. Taktik ini sudah diketahui oleh semua pemimpin Islam. Akan tetapi dek kerana media mereka yang kuasai, maka menjadilah plot cerita yang mahu mereka pahatkan dalam pemikiran orang ramai.

Saya menjangkakan, kaedah ini akan diguna pakai oleh beberapa buah parti yang mempunyai kuasa dalam mengawal media dalam PRN nanti. Mereka mungkin tidak boleh mengawal media sebagaimana parti memerintah Malaysia dahulu yang memiliki semua media arus perdana. Dunia sudah tanpa sempadan sekarang, mereka tidak boleh melakukan hal yang sama kerana sudah banyak media sosial yang boleh digunakan. Akan tetapi mereka memaksa pemilik media sosial untuk membuang atau merendahkan capaian kepada media musuh mereka. Ada yang mendakwa ia sudah berlaku.

Oleh itu, akan menjadilah kempen PRN nanti sebagai satu kempen yang paling kotor. Walaupun dahulu ada sebuah parti itu melakukan kekotoran yang hampir sama, tetapi parti dahulu melakukannya kerana kejahatan mereka. Sedangkan sebuah pakatan baharu lain yang memerintah sekarang ini, dahulunya mengaku baik, mahukan keadilan dan menentang parti jahat itu dahulu kerana media mereka disekat. Tetapi jahat mereka sekarang, lebih jahat dari parti pemerintah dahulu dalam tindakan mereka. Mereka fitnah, fitnah dan fitnah, tiada sekatan, ancaman ataupun gangguan. Tetapi kita, sebagai lawannya, tidak boleh. Undang-undang dan hukuman terbeban atas kita sahaja, mereka bebas buat apa sahaja, bukan mukallaf, belum mumayyiz lagi, maka tiada dosa.

Kalau dahulu mereka sering meluangkan betapa tidak adilnya kempen yang dibuat parti pemerintah, kempen PRU paling kotor, jijik, kalahnya mereka kerana taktik jahat ini. Namun sekarang yang paling jijik itu, besar kemungkinan ialah di zaman mereka berkuasa dan dikenang sebagai yang paling kotor dalam sejarah kerana rupanya, merekalah terpaling zalim. Apalagi berganding dengan mantan parti zalim. Mana bersih? Tak nak guling-guling atas jalan ke, berjuang untuk kempen PRU bersih? 

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 17/7/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -