Langkah awal Andalusia Travel bantu B40 tunaikan umrah

Khairul Firdaus dan Ida Riswana dalam sidang media Majlis Pelancaran Pakej Umrah Rahmah CSR Andalusia Travel & Tours 1445H di Ibu Pejabat Andalusia Travel, di Kuala Lumpur pada hari ini, 14 Julai 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) telah memulakan langkah awal buat golongan B40 di negara ini untuk menunaikan umrah di Makkah dengan menawarkan Pakej Umrah Rahmah pertama di Malaysia.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, beliau menyokong pakej yang dilancarkan oleh Andalusia Travel itu kerana percaya ia adalah satu langkah awal bagi semua pihak agar bersama-sama membuka peluang kepada masyarakat B40 dan kurang mampu untuk menunaikan umrah.

- Advertisement -

“Ini merupakan satu langkah yang baik dalam usaha ingin menjadikan negara Malaysia sebagai hab umrah untuk negara-negara Asia, China, Korea dan Jepun. 

“Melalui langkah sebegini, jemaah-jemaah dari negara-negara tersebut boleh mempelajari nilai-nilai Islam di negara Malaysia sebagai negara Islam yang sebenar dan bukan hanya sekadar hub umrah semata-mata,” katanya. 

Beliau menegaskan demikian dalam sidang media Majlis Pelancaran Pakej Umrah Rahmah CSR Andalusia Travel & Tours 1445H di Ibu Pejabat Andalusia Travel, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel, Ida Riswana Idris berkata, ini merupakan langkah pertama di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya. 

Khairul Firdaus dan Ida Riswana serta Ibrahim (kiri) dan Mohd Fadzle hadir pada Majlis Pelancaran Pakej Umrah Rahmah CSR Andalusia Travel & Tours 1445H. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)

Menurutnya, berlandaskan laporan statistik dalaman, Andalusia boleh mencapai jualan sehingga 95 peratus dari semua hotel serta tiket penerbangan yang ditempah dari awal.

“Sebagai tanda kesyukuran ke atas hasil pulangan tersebut, maka baki tidak melebihi lima peratus dari hotel serta tiket penerbangan yang ada dikongsi dengan B40 yang kurang berkemampuan untuk menunaikan umrah pada harga semasa dalam bentuk Pakej Umrah Rahmah,” jelasnya.

Beliau menyatakan sebanyak 2,200 tempat duduk telah disediakan bagi Umrah Rahmah pada musim 1445H yang bermula akhir bulan ini yang bermula dari harga RM5,590; manakala melalui program CSR Umrah Asnaf pula, seramai 500 golongan asnaf akan dihantar ke Makkah untuk menunaikan umrah setiap tahun.

“Pemilihan untuk golongan asnaf akan dibuat oleh pihak berkuasa seperti Pejabat Agama Daerah, Pejabat Menteri Besar dan Kementerian Pelancongan bagi menyaring mereka yang benar benar layak sahaja. 

Andalusia Travel merupakan syarikat pengendali umrah dan haji tempatan menawarkan Pakej Umrah Rahmah.

“Namun, program CSR Umrah Asnaf terdekat ialah bersama dengan Menteri Besar Pahang dan Pegawai Daerah Pekan iaitu pada 2 Ogos 2023,”  katanya. 

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin dan wakil Amal Malaysia Airlines, Mohd Fadzle Sonsudin. 

Menjelaskan tentang syarat pemilihan pakej tersebut, Ida Riswana menyatakan ia adalah terbuka kepada bakal jemaah yang belum pernah menunaikan umrah, pendapatan bawah RM800, berusia 60 tahun ke atas dan anak-anak tidak mampu menghantar mereka ke Makkah.

“Pendaftaran bagi satu keluarga mestilah tidak boleh melebihi lima orang,” katanya yang menambah bahawa antara syarikat penerbangan yang terlibat dalam pakej tersebut ialah  Malaysia Airlines, Oman Air, Air Arabia dan Saudi Arabia Airlines. – HARAKAHDAILY 14/7/2023

- Advertisement -