Pusat herba boleh dikembang untuk penyelidikan

- Advertisement -

KUANTAN: Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor Wan Razali menyarankan Pusat Herba dan Nurseri Kompleks Pertanian Inderapura dikembangkan sebagai pusat sehenti termasuk untuk tujuan penyelidikan.

- Advertisement -

Ini, katanya kerana di Kuantan belum ada lagi taman herba.

“Jadi elok dikembangkan lagi, libatkan lebih ramai peserta termasuk belia dan orang muda.

“Jika ada ruang jalinkan dengan agensi penyelidikan seperti universiti untuk komersialkan produk herba,” ujarnya yang melawat pusat herba itu, di sini hari ini. (Foto atas)

Pusat tersebut diusahakan oleh komuniti seramai 20 orang yang terdiri daripada pesara, petani dan usahawan yang diketuai oleh Kapten (B) Radzali Othman.

Menurut Radzali, terdapat sekitar 30 jenis herba di situ antaranya halia bentong, kunyit hitam, kunyit emas, serai wangi, temulawak, bawang dayak dan mahkota dewa.

Katanya, selain tanaman herba, terdapat juga benih pokok buah-buahan dan pelbagai jenis bunga dan hiasan.

Beliau juga memberi penerangan kepada Wan Razali mengenai serba sagu putih.

“Herba sagu putih ni boleh dijadikan ubat sakit kayap. Caranya, ubi sagu putih ni kita sapu pada tempat kena kayap,” ujarnya.

Tambahnya, beberapa jenis herba turut diproses menggunakan hydro distillation machine (HDM) iaitu kaedah penyulingan bagi mendapatkan pati minyak herba.

Katanya, terdapat dua mesin dengan kapasiti 30 kg dan 120 kg yang digunakan di pusat itu.

“Biasanya kaedah ni ambil masa sekitar empat jam. Buat masa ni kita dah buat untuk serai wangi, halia, daun cucur atap dan gaharu,” jelasnya lagi.

Radzali mewakili komuniti tersebut merakamkan penghargaan di atas keprihatinan dan sokongan Ahli Parlimen Kuantan yang mengunjungi pusat herba itu. – HARAKAHDAILY 14/7/2023

- Advertisement -