Siri Temu Anwar di kampus bukan tatakelola yang baik

- Advertisement -

TATAKELOLA dan tadbir urus yang baik merangkumi amalan pemerintahan yang profesional dan berintegriti.

Dalam konteks Malaysia, Pakatan Harapan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim merupakan gabungan politik yang paling hebat memperjuangkan soal tatakelola dan tadbir urus yang baik.

Namun begitu, apabila menjadi kerajaan hasil gabungan bersama Barisan Nasional, Kerajaan ‘Perpaduan’ pimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim telah berulang kali melanggar prinsip berkenaan tatakelola yang baik.

Terbaru menerusi siri Temu Anwar di negeri-negeri dan kampus yang terpilih, Perdana Menteri ke-10 (PMX) boleh dikatakan menggunakan platform ini demi kepentingan politik peribadi.

Isi ucapan dan syarahan yang disampaikan pasti menyentuh isu semasa dan isu politik. Sudah tentu, kesemuanya berobjektif jelas untuk membetulkan imej beliau di khalayak mahasiswa dan anak muda. Antaranya:

(1) Naratif Melayu Islam yang dibawa PERIKATAN NASIONAL. Berulang kali dalam siri Temu Anwar, Anwar pasti cuba membuat penerangan dan justifikasi berkenaan isu ini kepada mahasiswa. Usaha Anwar ini adalah jelas untuk mengelakkan daripada mahasiswa turut sama bersetuju dengan apa yang dibangkitkan PN.

(2) Menyentuh Isu Kalimah Allah. Kononnya apa yang dibuat oleh Kerajaan Madani adalah tepat dan selaras dengan kehendak Majlis Raja-raja.

(3) Menyentuh isu melawan rasuah. Anwar berulang kali dengan nada yang bersemangat cuba meyakinkan mahasiswa berkenaan usaha ‘keras’ beliau melawan rasuah yang sistemik.

(4) Menyentuh soal pertembungan beliau dengan Menteri Besar Kedah. Dalam jelajah Temu Anwar di Kelantan dan Negeri Sembilan, beliau tidak lupa untuk terus menyerang kredibiliti Menteri Besar Kedah secara belakang. 

Ini adalah sebahagian kecil naratif politik yang dibawakan Anwar dalam siri Temu Anwar. Jika siri Temu Anwar bukanlah siri kempen politik, maka mengapa kehadiran program akan dipaksa supaya kelihatan ramai dan penuh?

Apa keperluan pelajar sekolah seperti pelajar Tingkatan 6 dibayar dan diberikan baju percuma semata-mata untuk memaksa mereka hadir ke program Anwar.

Jika ia bukan siri jelajah politik, maka mengapa negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri yang disinggahi beliau (kecuali Terengganu).

Jelas sekali, Siri Temu Anwar bukanlah tatakelola yang baik menyaksikan objektif program secara tersirat yang amat jelas bertujuan memenangi hati mahasiswa ke arah PMX.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 13/7/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -