STPM 2022: 13 calon raih keputusan cemerlang

Barisan 13 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 di Perlis (depan) yang meraih keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
- Advertisement -

KANGAR: Seramai 13 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 dari negeri Perlis meraih keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman berkata, selain itu, tujuh dari sembilan buah sekolah di sini juga mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) mengatasi peringkat kebangsaan dalam STPM 2022.

- Advertisement -

“Perlis kekal mencatatkan keputusan STPM 2022 yang terbaik dalam Gred PNGK negeri dan kebangsaan dengan 2.92, malah terdapat lapan buah sekolah berjaya merekodkan keputusan lulus 100 peratus berbanding enam buah sekolah pada tahun lalu.

“Selain itu, seramai 207 calon STPM 2022 di negeri ini juga direkodkan meraih keputusan PNGK 3.00 ke atas,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, tujuh buah sekolah itu termasuk SMK Agama Perempuan dengan PNGK 3.26; SMK Syed Alwi (3.11); SMK Putra (3.02); SMK Derma (2.89); SMK Tengku Suleiman (2.86); SMK Agama Arau (2.83) dan SMK Perlis (2.82).

Naharudeen berkata, seramai 450 calon telah mendaftar bagi menduduki peperiksaan STPM di negeri ini termasuk seorang daripadanya merupakan calon persendirian.

“Bilangan calon yang hadir menduduki peperiksaan STPM 2022 adalah seramai 443 berbanding 379 pada tahun lepas.

“Daripada keseluruhan calon yang hadir menduduki peperiksaan STPM 2022 di negeri ini, 442 calon meliputi 99.77 peratus didapati lulus penuh dan tiada calon yang gagal,” ujarnya.

Di samping itu, beliau memberitahu, pelbagai usaha dilaksanakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia bersama Jabatan Pendidikan negeri bagi memastikan calon yang menduduki STPM 2022 meraih keputusan cemerlang.

“Antara usaha yang dilakukan ialah dengan mengadakan jadual peperiksaan ganti kepada calon yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2023

- Advertisement -