Tuntutan Kedah disamakan macam Sulu dan Siam?

Bidas dakwaan Anwar bahawa Siam mungkin tuntut Kedah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pulau Pinang milik Kedah adalah kenyataan yang tidak sama dengan Sulu menuntut Sabah dan perang Siam ke atas Kedah sebagaimana perbandingan cuba diadakan pihak tertentu. 

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, Kedah adalah kerajaan tertua dan kesultanan yang tidak pernah terputus salasilahnya di mana telah berusia lebih 1,000 tahun. 

Depa duk banding Kedah ni macam (kes) Sulu. Depa kata kalau Kedah tuntut Pulau Pinang, macam mana kalau Sulu pi tuntut Sabah? Saya kata bila Sulu ada kerajaan? Sulu dah tak wujud, sepertimana Kedah masih wujud, segar-bugar.  

“Perdana Menteri kata pula, kalau Kedah tuntut Pulau Pinang dibangkitkan perjanjian-perjanjian dulu, bagaimana kalau Thailand tuntut Kedah. Bila Thailand memiliki Kedah?” bidasnya mempersoal dokumen yang dirujuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sanusi kesal kerana Anwar menyatakan perkara itu di dalam ucapannya pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen tanpa ada pihak menegur pemimpin itu di mana ia boleh dianggap bahaya. 

“Dalam sejarah yang telah berlaku (adalah) serangan peperangan antara Kedah dan Siam 1821 dipanggil Perang Musuh Bisik berlaku selama 20 tahun sampai 1842. Memang berlaku serangan penjajahan tetapi tidak pernah berlaku pemilikan.  

“Penjajahan bukan pemilikan. Malaysia tidak pernah menjadi milik British ketika British menjajah negara ini. Malaysia tidak pernah menjadi milik Jepun ketika Jepun masuk ke negara ini. Kedah tidak pernah menjadi milik Siam apabila Siam menyerang 1821. 

“Sepanjang 1821 Perjanjian Inggeris-Siam, Perjanjian Bangkok 1909, sampailah tanah ini merdeka (1957), tak pernah sepucuk surat pentadbiran atau surat tanah, hubungan luar negara antara Kedah dengan negeri lain dilaksanakan oleh Siam, tak pernah. 

“Geran tanah sepanjang sejarah di ‘signed’ oleh Sultan Kedah, kerja pejabat-pejabat semua dikendalikan oleh Kesultanan Kedah. Macam mana hang (Anwar) kata Siam kuasai?” bidas Sanusi. 

Menurutnya lagi, satu-satunya yang dibuat Kedah ialah menghantar Bunga Emas sebagai ufti, tetapi bukan hantar masa perang 1821, tetapi dihantar sejak Kerajaan Angkor Wat, kerajaan lama sebelum wujud Siam di Ayuthia. 

Ayuthia jelasnya, adalah Kerajaan Islam di mana semua kerajaan yang bernaung di bawahnya menghantar Bunga Emas termasuk Kelantan dan Terengganu sebagai tanda persahabatan dan bukannya taklukan. 

Sanusi turut menjelaskan panjang lebar mengenai penggiliran sultan-sultan memerintah Ayuthia dan hubungan antara kerajaan sehinggalah berlaku peperangan yang memusnahkan Kerajaan Ayuthia. 

“Itu bukan pemilikan. Itu bukan tanda dia memiliki kita, dak. Tak dak dokumen, pandangan ahli sejarah yang kata Kedah pernah dimiliki oleh Siam, tapi Perdana Menteri boleh kata (begitu). 

“Dunia sekarang ni kena dihadapi dengan hujah. Dengan fakta. Dengan pandangan yang disandar kepada dokumen dan pandangan-pandangan orang cerdik pandai. Bukan boleh pakai hentam ikut dan gitu. 

“Walaupun saya bercakap macam ni, (tapi) saya ada rujukan. Saya ada dokumen saya tebal tentang hal sejarah,” ujarnya menjelaskan komitmen beliau bercakap berlandaskan kebenaran dan fakta. – HARAKAHDAILY 12/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -