3R: Berani angkat martabat, bukan bangkit isu sensitif

Isu perkauman, agama dan raja-raja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berbicara mengenai Melayu, Islam dan Raja yang juga disebut sebagai 3R sama sekali tidak wajar dihalang jika ia diperkatakan dalam konteks mengangkat martabat dan mempertahankannya. 

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, perbuatan yang dilarang adalah apabila perkara melibatkan 3R diperkatakan secara sensitif atau mengecam hina pihak selainnya. 

“(Inilah) nilai ataupun intipati kepada perjuangan PAS dan Perikatan Nasional (PN). Kalau perkara yang menjadi inti dan teras perjuangan dilarang kita bercakap, samalah seperti depa (mereka) ikat tangan kita, ikat kaki kita. 

“Lepas itu ajak kita lawan tumbuk kan? Nak tumbuk guane tangan terikat, kaki terikat. Kalau saya bercakap mengenai Islam, saya tak boleh hina agama lain. Kalau saya cakap nak bela Melayu, saya tak boleh mengecam bangsa lain, itu betul.  

“Kalau saya cakap nak mengangkat martabat Melayu, untuk menjadi tuan tanah yang kita cintai ni, takkan itu tak boleh? Itu tentang diri kita, tentang masa depan anak cucu kita. Ini tentang tanah yang akan kita wariskan kepada generasi akan datang. 

“Takkan kita tak boleh cakap perkara itu. Dalam tak boleh bercakap benda itu, tiba-tiba ada yang kata kata kalau ‘gelombang hijau’ memerintah, mengambil alih Pulau Pinang, kuil Buddha kuil Hindu akan dirobohkan. Itu 3R tak boleh,” jelasnya. 

Beliau memberitahu, di Kelantan terdapat patung Buddha yang besar tetapi sama sekali tidak pernah disentuh usik oleh Kerajaan PAS, begitu juga di Kedah terdapat patung Buddha besar di Teluk Wanjah, Alor Setar dan Jeneri, Sik. 

“Tak ada siapa duk kacau pun. Macam mana depa cuba gambarkan kita ni seolah-olah satu gelombang. Dia kata ‘green wave’. ‘Green wave’ inipun diguna untuk menakutkan orang dengan Islam. 

“Dia kata ‘green wave’ nanti akan melanda, akan merobohkan rumah-rumah ibadat bukan Islam,” ujarnya membidas tuduhan itu dilakukan oleh ‘orang gila’ menjelang PRN tidak lama lagi. 

Kembali pada asal-usul 

Tegas Sanusi, PAS dan PN memperjuangkan masa depan serta membina anak bangsa dan agama serta negara melalui politik dan bukannya sekadar tadbir urus atau menyelesaikan masalah-masalah.

“Perjuangan politik ni ialah nak bina negara ini. Nak bina rakyatnya yang dibentuk menjadi ‘nation state’ menjadi negara bangsa yang boleh didiami oleh semua rakyat yang ada di sini.  

“(Tetapi) Bila ada pertelagahan, pertelingkahan, pertikaian, kita akan balik kepada sejarah negeri kita ni. Apa dia, sejarah negeri kita ni? Negeri ni punya. Asal-asal siapa duk sini? Siapa mai kemudian?  

“Siapa yang diberi keistimewaan untuk mendapatkan rakyat? Apa yang telah dipersetujui semasa negara ini dibentuk untuk hidup bersama aman damai. Kenapa sekarang persetujuan itu seolah-olah ingin dipertikaikan?

“Kenapa sekarang ini dituntut hak sama rata? Kenapa seolah-olah kita semua ini adalah sama macam semua kita ni adalah pendatang. Pasal apa kita hidup dan membesarkan, membangunkan negara ini?  

“Kerana tok kita dulu telah bersetuju kepada satu kontrak sosial dan kontrak sosial itu sebahagian yang dicatat dalam Perlembagaan (Persekutuan). Islam agama rasmi. Hangpa jangan kacau, ganggu, sentuh. Agama lain bebas diamalkan,” peringatnya. 

Katanya, para pemimpin politik terutamanya Barisan Nasional (BN) ketika hak keistimewaan ini dipertikaikan, mereka tidak berani bercakap kerana takut hilang undi daripada kaum-kaum lain. 

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga disifatkan Sanusi dengan sikap sama di mana takut kepada DAP untuk bercakap mengenai Melayu, tetapi apabila dia meremehkan Melayu, kata-katanya diikuti oleh kaum lain. 

“Kalau kita cakap mengenai membela nasib Melayu, seolah-olah akan difahami bahawa bangsa lain akan ditindas. Tuan-tuan sekalian, yakinlah, percayalah bangsa paling lembut, paling halus, paling besar santun, paling bertimbang rasa.

“Paling bertamadun di dunia adalah bangsa Melayu. Sebab itulah orang Melayu boleh terima siapapun mai duduk sini. Cina mai, India mai. Bangla mai. Rohingya mai duduk sekali. Tak ada masalah apa.  

“Pasal kita ni bangsa yang penuh dengan toleransi. Kalau kita cakap tentang nasib bangsa kita Melayu, tidak sekali-kali berhasrat untuk menghapuskan bangsa lain. Kita tak kacau. Aku nak cakap tentang bangsa aku.  

“Kita nak perjuangkan nasib bangsa kita, masa depan bangsa, masa depan anak-anak bangsa yang akan mewariskan negara ini. Kami tak mahu, 50 tahun lagi Melayu hilang tanah, Melayu tak tahu negara dia di mana.  

“Kita tahu negara orang India dari India. Kita tahu negara orang Cina ada di China. Kita tahu negara orang Thai dari Thailand. Kita tahu negeri orang Jawa ada di Indonesia. Tapi kita tak tahu negeri orang Melayu ada di mana?” ujarnya. 

Oleh itu menurutnya, negara sedang dimajukan ini, bangsa dan anak cucu pewaris masa depan mesti mengetahui bahawa mereka memiliki hanya Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malaysia ini. 

Kerana itu jelasnya beliau kini sedang bercakap membetulkan sejarah antara Kedah dan Pulau Pinang, bukannya untuk menghapuskan negeri tersebut sebagaimana tuduhan pihak-pihak tertentu. – HARAKAHDAILY 12/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -