Siapa pemain yang jalankan kegiatan ekonomi gelap?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Golongan yang terlibat sebagai pemain-pemain ekonomi gelap adalah merangkumi kegiatan seperti pelacuran, penyeludupan, perjudian, pemerdagangan manusia dan lain-lain. 

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki mendedahkan, kegiatan tidak bermoral ini juga dikenali sebagai industri maksiat di mana ia dijalankan golongan yang tidak mempunyai nilai iman.  

“Kedua, (oleh) mereka yang sentiasa mahu berlepas diri daripada hukum-hukum agama. Khususnya, syariah di dalam Islam. Ketiga, mereka yang tidak berakhlak dan tidak bermoral,” kupasnya.  

Memetik tulisan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai golongan pemberi rasuah, menurutnya mereka itu juga sebenarnya adalah golongan yang terlibat dengan kegiatan atau industri maksiat. 

Jelas beliau, rasuah dilakukan mereka itu adalah untuk melepaskan diri daripada penguatkuasaan undang-undang melibatkan sogokan kepada  ahli-ahli politik bertujuan supaya negara tidak mengadakan penguatkuasaan.

Terutama katanya, melibatkan undang-undang seperti Ordinan Darurat, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan seumpamanya yang akan menyekat kegiatan ekonomi gelap mereka tersebut.  

“Mereka inilah sebenarnya yang terlibat dengan kegiatan rasuah dan ekonomi gelap. Inilah merupakan sebahagian daripada amalan yang mendorong kepada berlakunya rasuah dan sogokan dalam negara kita.  

“Kita melihat mereka yang terlibat dengan kegiatan ini, dikenali tidak mahu terikat dengan undang-undang ataupun syariah dan hukum-hukum agama. Mereka itu sebahagian besarnya adalah penyokong-penyokong kepada Pakatan Harapan.  

“Sebab itu (Perdana Menteri, Dato’ Seri) Anwar Ibrahim tidak berbicara tentang perkara ini. Anwar Ibrahim hanya berbicara tentang tatakelola sedangkan sebahagian besar daripada masalah ekonomi kita datangnya daripada kegiatan tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -