Isu keperluan rakyat, tanah dan rumah diutamakan

- Advertisement -

MARI kita lihat perkembangan mengenai tanah dirampas di zaman BN, jumlah kelulusan permohonan tanah baru, peningkatan tanah rizab Melayu, pembangunan rumah mampu milik dan penyelesaian projek rumah terbengkalai di bawah kerajaan ini.

1. Kerajaan Terengganu serah semula 7,601 lot tanah ‘dirampas’.

Sebanyak 7,601 lot tanah yang sebelum ini didakwa dirampas oleh kerajaan terdahulu kini telah dikembalikan semula kepada rakyat Terengganu sejak 2019 hingga 2022.

Rata-rata penerima sangat gembira kerana hak mereka dikembalikan. Ini memberi peluang kepada mereka untuk memanfaatkan tanah dengan lebih baik.

2. Kerajaan PAS Terengganu meluluskan 28,260 permohonan tanah baru.

Sejak 2018 hingga Disember 2022, kerajaan PAS Terengganu telah meluluskan 28,260 permohonan rakyat untuk memiliki tanah.

Rakyat yang ditemui sangat teruja dengan sikap responsif kerajaan negeri.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan PAS kerana memberi peluang kepada kami untuk memiliki tanah sendiri. Ini memberikan kelegaan kepada keluarga kami.”

3. Tanah Rizab di bawah PAS meningkat.

Keluasan tanah rizab Melayu (TRM) di Terengganu meningkat sebanyak 1,542 peratus sepanjang pemerintahan PAS iaitu dari 118 hektar kepada 1,938.32 hektar.

4. Pembinaan rumah mampu milik cecah 20,000.

Di bawah pemerintahan PAS, pembinaan rumah mampu milik terus berjalan dengan rancak dan mencapai perkembangan membanggakan.

Setakat ini, rumah yang telah diagihkan berjumlah 2,645 unit, rumah dalam pembinaan dan hampir siap pula 13,180 unit manakala 4,884 unit rumah dalam perancangan.

5. Tiga projek rumah terbengkalai dipulihkan.

5.1 Perumahan Padang Setengge.

Derita pembeli Rumah Mampu Milik (RMM) Padang Setengge Fasa 3 dan 4 yang terbengkalai sejak 2014 berakhir apabila pembeli mula menerima kunci rumah pada 12 Disember 2022.

Oleh kerana projek ini terbengkalai maka ia memerlukan kos tambahan. Kerajaan perlu memperuntukkan sebanyak RM8 juta, namun kerajaan tidak meletakkan harga tambahan kepada para pembeli.

5.2 Perumahan Taman Kerteh Sri Gemilang 2, Kerteh.

RMM ini merupakan salah satu projek bermasalah sejak 2011 yang menjadi rumah penswastaan pertama di bawah kerajaan negeri dan berjaya diselesaikan pada 8 Disember 2020.

5.3 Perumahan Taman Seri Buchu, Batu Rakit.

Pembeli telah menerima kunci rumah pada Oktober 2021. Setelah projek yang melibatkan 106 buah unit rumah tersebut diklasifikasikan sebagai projek terbengkalai atau sakit yang sepatutnya siap pada 2012.

Alhamdulillah, ini adalah antara usaha yang dilakukan Kerajaan PAS Terengganu dalam menjaga kepentingan dan keperluan rakyat.

TO’ PUAN HAJJAH ZARANI OTHMAN
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 11/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -