DALAM membuat pertimbangan politik, umat Islam perlu memastikan kepentingan Islam diutamakan.
Dalam membuat pertimbangan politik, keputusan yang dibuat hendaklah menjaga penyatuan umat Islam dan Melayu.
Dalam membuat pertimbangan politik, keadilan kepada semua pihak termasuk bukan-Islam perlu diberikan.
Sememangnya tidak mudah untuk membuat ijtihad politik yang tepat kerana ada waktunya kita perlu mengorbankan kuasa demi prinsip.
Alhamdulillah PAS tetap istiqamah berpegang kepada hal ini ketika Umno memilih untuk bersama DAP.
Bukankah dalam politik Islam kita diajar untuk memilih mudarat yang paling kecil?
Tambahan, perlumbaan Umno dan PAS bukan sahaja perlumbaan dalam melakukan kebaikan tetapi termasuk aspek melakukan amar makruf nahi mungkar.
Maka dalam perlumbaan kita ini, siapakah yang sedang di hadapan dan siapa pula yang mengambil langkah terkebelakang?
Realitinya, Umno sedang lemah dan kalah.
Sebagai orang berilmu, saudara pasti memahami bahawa menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hakam Islam itu hukumnya wajib, maka kerja-kerja yang membawa kepada kewujudan masyarakat Islam dan terlaksananya hukum Allah turut menjadi wajib.
Adakah dengan bersama DAP, Umno akan berjaya menunaikan tanggungjawab ini?
DAP yang tidak berakidah sudah menunjukkan sifatnya yang melampau serta melakukan fitnah terhadap Islam secara terang.
Meskipun DAP cuba menampilkan calon Melayu Islam dan berpakat dengan parti keramat orang Melayu (Umno), ia tetap tidak menghalalkan ideologinya yang bercanggah dengan Islam.
Agenda Malaysian Malaysia yang menjadi perjuangan DAP tidak sepatutnya diterima oleh pemimpin Melayu Islam.
Silakan baca Perlembagaan PAS yang menegaskan hukum tertinggi ialah al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas. Inilah asas agama yang menjadi pegangan PAS.
Politik yang tidak berakidah akan menyebabkan matlamat perjuangannya menjadi tidak jelas, mencampur aduk Islam dan jahiliah sehingga akhirnya tunduk kepada golongan yang tidak suka kepada syariat Islam.
Atas dasar akidah lah, PAS memilih untuk tidak bersama PH-BN yang didominasi DAP.
Kita telah merasai kekuatan ketika parti Melayu Islam dan parti-parti bukan-Islam yang tidak ekstrem bersama selepas PRU14 lalu.
Malangnya Umno lebih memilih untuk menggadai prinsip perjuangan dengan bersama pakatan yang ekstrem.
Jangan mimpi untuk menang perlumbaan kalau Umno masih sujud pada DAP.
Sekian.
USTAZ ABD RAZIB ABD RAHIM
Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang
11 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 11/7/2023
Surat terbuka kepada Dr Asyraf Wajdi
- Advertisement -