Beruk Kentoi dicadang maskot Tahun Melawat Perlis

Wan Badariah (kiri) berkata keputusan terhadap cadangan Beruk Kentoi dijadikan maskot Tahun Melawat Perlis 2023-2025 akan diputuskan dalam masa terdekat ini.
- Advertisement -

KANGAR: Beruk Kentoi atau nama saintifiknya macaca arctoides yang hanya didapati di negeri Perlis dicadangkan untuk menjadi maskot Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perlis, Wan Badariah Wan Saad berkata, haiwan tersebut sudah sinonim dengan negeri itu.

- Advertisement -

“Saya sudah beri cadangan kepada Jawatankuasa Induk TMP supaya menjadikan Beruk Kentoi ini sebagai maskot Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

“Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan putuskan perkara ini,” katanya kepada HarakahDaily, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, seorang penyelidik Beruk Kentoi yang juga pengasas Perlis Nature & Wildlife, Syamil Abd Rahman berkata, pemilihan haiwan itu sebagai maskot pelancongan Perlis dilihat bertepatan dengan kempen promosi Tahun Melawat Perlis.

“Ketika kempen Tahun Melawat Malaysia mula dilancarkan pada tahun 1990, orang utan bernama ‘Wira’ dijadikan maskot ,manakala bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 monyet Belanda terpilih sebagai maskot.

“Kedua-dua spesies primat tersebut dipilih mewakili keunikan flora dan fauna yang terdapat di bumi Malaysia untuk dikenali seluruh dunia. 

“Begitu juga dengan pemilihan Beruk Kentoi sebagai maskot dan ia dilihat bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Perlis,” katanya.

Beruk Kentoi mempunyai ciri-ciri unik dan tersendiri terutama wajahnya yang berwarna merah. (FOTO: Unsplash)

Menurut beliau lagi, penduduk Perlis wajar berbangga kerana spesies ikonik itu yang jarang ditemukan di tempat lain.

“Semua pihak perlu mempunyai kesedaran menjaga kelestrian habitat hidupan liar secara bersama untuk memastikan spesies ini tidak pupus bagi tatapan generasi akan datang,” katanya lagi.

Terdahulu Syamil telah menerbitkan kertas saintifik bancian populasi Beruk Kentoi di Wang Kelian pada tahun 2019 bersama-sama penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); dan dianggarkan terdapat 176 ekor spesies haiwan itu kini menghuni Taman Negeri Perlis, manakala anggaran 350 ekor selebihnya di sepanjang Banjaran Nakawan.

“Beruk Kentoi mempunyai ciri-ciri unik dan tersendiri dengan wajah berwarna merah, berbulu tebal serta banyak menghabiskan masa di atas tanah untuk sering dilihat berkeliaran mencari makanan di kawasan tumpuan pelancong seperti di Wang Kelian View Point,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -