Hayat politik BN semakin suram

- Advertisement -

KOTA BHARU: Umno berdepan tamparan hebat bagi meneruskan kesinambungan perjuangan bersama Barisan Nasional (BN) selepas MCA dan MIC mengumumkan tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos ini.

- Advertisement -

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim berkata, isyarat tersebut menggambarkan BN berdepan kesukaran bagi meneruskan hayat.

Sedangkan katanya sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga 2018 Umno bergantung harap kepada MCA dan MIC bagi mrmpertahankan kerajaan BN.

“Tindakan MCA dan MIC memberi tamparan hebat kepada Umno selepas BN sekarang hanya empat parti komponen,” katanya pada ceramah Pentas Alternatif parlimen Pengkalan Chepa di Dataran Kijang malam tadi.

Hadir sama Ketua Armada Nasional Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Penerangan PAS Pengkalan Chepa Dato Dr Ahmad Marzuk Shaary serta pimpinan PAS kawasan.

Baru-baru ini Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon MCA pada kenyataan media memaklumkan, parti itu tidak akan bertanding pada PRN di enam negeri.

Tindakan serupa juga diambil MIC apabila Setiausaha Agungnya, RT Rajasekaran pada kenyataan berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang berlangsung 30 Jun lalu selepas meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC.

Pada 2018 parti komponen BN dari Sarawak mengumumkan keluar BN dan membentuk pakatan tempatan yang dikenali Gabungan Parti Sarawak. Tindakan serupa juga diambil Gerakan dan Parti Progresif Rakyat.

Dr Shahidan yang juga ahli parlimen Arau berkata, penolakan rakyat terhadap Umno jelas berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 apabila parti itu langsung tidak menang di banyak negeri termasuk Perlis dan Kelantan.

Dr Ahmad Marzuk sebelum itu berkata, penyokong Umno perlu menolak parti itu pada PRN 12 Ogos ini bagi mengelakkan DAP terus menguasai politik negara. – HARAKAHDAILY 8/7/2023

- Advertisement -