Insiden bakar Al-Quran dedah hipokrit Barat

- Advertisement -

INSIDEN penghinaan dan pembakaran naskah suci Al-Quran di Sweden dianggap sebagai kebebasan bersuara dan dilindungi oleh undang-undang.

- Advertisement -

Sebaliknya mereka yang menentang agenda Barat, imperialisme, LGBT dan zionisme dilabel sebagai melanggar hak asasi manusia dan tidak bertamadun.

Pejabat media Iran telah ditutup di beberapa negara Barat dan pelbagai media Barat menyekat serta “mengharamkan“ Iran Press TV, TV Al-Manar Lubnan dan saluran media yang menentang penjajahan rejim zionis Israel.

Beribu-ribu aktivis Palestin telah diharamkan atau ditapis di platform media sosial Barat kerana dengan beraninya mengkritik jenayah perang rejim zionis Israel di Palestin.

Tambahan lagi, sebaik sahaja konflik di antara Rusia-Ukraine bermula, kerajaan Barat diminta untuk menyekat sepenuhnya Russia Today dan saluran media Rusia lain daripada beroperasi di negara- negara Barat yang membawa kepada penutupan pejabat, saluran media sosial, penyingkiran daripada YouTube, Google dan sebagainya.

Pada Februari 2022, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, berkata: “Kami akan mengharamkan ‘mesin media’ Kremlin di Kesatuan Eropah”.

Untuk beberapa sebab yang amat pelik, semua penapisan ini, entah bagaimana secara moral dan undang-undang boleh dipertahankan dari sudut pandangan Barat.

Tetapi mengapa hak untuk menghina umat Islam begitu dihargai dan begitu suci dalam pandangan kerajaan dan undang-undang Barat?

Ia ‘suci’ semata-mata kerana Islamofobia wujud di peringkat tertinggi di majoriti dunia Barat.

Penggubal undang-undang dan ahli politik Barat berhujah bahawa undang-undang tersebut adalah untuk melindungi hak individu untuk membakar al-Quran di atas nama kebebasan bersuara tetapi realitinya kadang kala tanpa berselindung pemimpin Barat berkongsi pandangan sama dengan mereka yang membakar Al-Quran atau mencemarkan simbol Islam. Kebencian sebegitu sering dipersalahkan kepada kumpulan ekstremis berhaluan kanan oleh kebanyakan kita, tetapi sebenarnya ia jauh lebih besar dan amat kompleks.

Seperti yang dijangka, sekali lagi umat Islam bertindak balas dengan membantah beramai-ramai, menyerbu kedutaan Barat dan membakar bendera negara Barat akibat daripada insiden keji tersebut. Dan apabila ini berlaku, kalangan ahli politik dan intelektual Barat yang membenarkan atau menggalakkan ucapan kebencian pada mulanya, naik ke pentas membandingkan sikap toleransi dan demokrasi di Barat dengan sikap tidak bertoleransi dan autoritarianisme Islam.

Bagaimana pula dengan masa atau ‘timing’ perbuatan tersebut?

Perhatikan bagaimana Al-Quran sering dibakar, Islam dihina, atau simbol Islam dicemari. Ia lazimya berlaku apabila Barat sedang mengalami krisis dan terdesak sama ada untuk mencetuskan kebencian awam terhadap Islam atau mengalih perhatian daripada kegagalannya sendiri.

Ini telah berlaku berkali-kali sepanjang sejarah dunia baik kuno dan moden.

Apabila Amerika Syarikat menyerang Iraq atau mahu mengalihkan perhatian daripada kegagalannya yang teruk di Iraq, Afghanistan dan di mana-mana sahaja di Dunia Islam, “provokator“ Barat akan bergegas ke jalanan untuk membakar Al-Quran atau menghina dan mempersendakan Nabi Muhammad SAW dalam akhbar dan majalah mereka.

Tetapi krisis apakah yang kini cuba dialihkan oleh Barat? Ianya adalah konflik di Ukraine dan peralihan The New World Order yang sedang berlaku.

NATO gagal menghapus atau melemahkan Rusia. Counter offensive tentera Ukraine terhadap tentera Rusia yang digembar-gemburkan dengan senjata paling moden yang “disumbangkan“ oleh Barat, adalah bencana dan kegagalan yang paling teruk yang tidak dapat diterima oleh Barat.

Disebabkan itu, keretakan dan perpecahan di kalangan NATO dan negara-negara Barat lebih besar dari sebelumnya dan semakin melebar dari hari ke hari.

“Pemberontakan“ kumpulan Wagner di Rostov yang mencetuskan harapan di kalangan negara  Barat bahawa Presiden Rusia, Vladmir Putin boleh ditumbangkan telah gagal sama sekali. Malah, ia telah menjadi masalah besar kerana kumpulan Wagner “telah dibuang“ ke Belarus dan kini ditempatkan “di depan pintu“ NATO sendiri.

Lebih membimbangkan lagi, negara-negara Arab dan Dunia Islam serta negara dari seluruh hemisfera selatan semakin rapat dengan Moscow dan Beijing. Algeria baru-baru ini telah menandatangani perjanjian kerjasama utama dengan Rusia, sekali gus mengukuhkan lagi pengaruh mereka ke atas pasaran minyak dan gas serta banyak negara sedang “beratur“ untuk menyertai BRICS.

Dalam menghadapi kegagalan strategik ini dan keruntuhan moral, politik dan ketenteraan sepenuhnya Barat, seorang yang dikatakan “gila“ muncul di hadapan sebuah masjid di Stockholm, dengan misi “korban diri“ yang direka-reka untuk membakar kitab suci 1.8 bilion umat Islam. Kemudiannya kegembiraan media Barat segera menyusul.

Tetapi individu ini, dan orang lain sepertinya, tidak berminat untuk mempertahankan kebebasan bersuara. Dia adalah strategi pengalihan dan pada tahap tertentu, “orkestra“ sebenarnya bukanlah orang gila, tetapi lelaki yang bijak, dengan pekerjaan bergaji tinggi dan mempunyai agenda politik.

Sememangnya, tindakan keji dan biadap ini adalah sebahagian daripada agenda Barat yang lebih besar, yang intinya ialah Barat adalah demokratik, bertolak ansur dan pada asasnya baik, dan yang lainnya adalah tidak demokratik, tidak bertamadun dan pada dasarnya “jahat“.

Pepatah palsu ini hanyalah sebahagian dari satu lagi pandangan daripada Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell, apabila beliau berkata pada November tahun lalu, bahawa “Europe is a garden,” while “most of the rest of the world is a jungle”.

Semoga kita semua diberi kekuatan dan istiqamah untuk terus mempertahankan kesucian dan kemuliaan Islam di muka bumi ini serta doakan agar Islam dan Al Quran diterus dilindungi serta berada dibawah rahmat Allah SWT.

“Malaysia Sejahtera”

DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
AJK PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/7/2023

- Advertisement -