Mayat disyaki mangsa bunuh ditemukan terapung

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemukan terapung dengan perutnya terbelah dan lehernya diikat dengan bongkah batu di muara sungai berhampiran jeti Bagan Bukit Tambun, di sini semalam.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Ng Ah Thiam berkata mayat tanpa sebarang pengenalan diri itu ditemukan kira-kira 11.45 pagi oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Beliau berkata mayat berkenaan dalam keadaan berpakaian lengkap baju-T berkolar dan lengan pendek berwarna merah dengan tulisan ‘US Pizza’ serta seluar ‘boxer’ berwarna hitam jenama Roxy.

“Hasil pemeriksaan pada mayat lelaki itu mendapati tangan dan kakinya diikat dengan tali manakala leher dalam keadaan terikat dengan tali bersama sebongkah batu.

“Pemeriksaan turut menemukan kesan belahan di bahagian perut dipercayai dicederakan dengan menggunakan senjata tajam. Polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu dibunuh sebelum dibuang ke laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ng berkata mayat berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan mayat itu atau kehilangan ahli keluarga tampil di balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan.

Katanya maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan ASP Mohd Hafiz Mohd Noor menerusi talian 019-465 0777 atau hotline Polis Seberang Perai Selatan (04-5858 222) atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (04-2221 522). – BERNAMA

- Advertisement -