Tidak sertai PRN: MCA dan MIC perlu keluar BN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: MCA dan MIC perlu keluar daripada Barisan Nasional (BN) sebagai melanjutkan bantahan mereka setelah mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam PRN pada Ogos nanti.

Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, adalah lebih munasabah serta sesuai kerusi campuran kaum di negara ini diwakili MCA dan MIC jika mereka menjadi komponen PN.

Beliau melihat tindakan dua parti tersebut adalah bantahan terhadap Pengerusi BN, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyebabkan kerusi-kerusi campuran kaum terpaksa diberikan kepada Pakatan Harapan (PH). 

Mengulas mengenai sensasi isu Pulau Pinang milik Kedah, Sanusi menggesa sejarah tersebut dibetulkan semula dan pengkhianatan Umno menyebabkan dua negeri berasingan itu diketahui umum.

“Tahun Francis Light masuk 1781, tahun 1786, beberapa perjanjian ditandatangani Francis Light telah membahagi-bahagikan tanah Pulau Pinang kepada pengusaha Cina dan pengusaha India di Pulau Pinang tanpa kebenaran Sultan Kedah. Kalau orang kata saya cakap pasal rasis, tapi apa yang telah terjadi macam tu kita kena ungkapkan hakikat supaya sejarah ni dapat dibetulkan. 

“Sehinggakan dikatakan satu-satunya parti yang menyokong Pulau Pinang wujud sebagai sebuah negeri yang akan menyertai Malaysia pada tahun 1957 itu adalah Umno yang menyokong Pulau Pinang menjadi sebuah negeri. 

“Maka dibuatlah perjanjian-perjanjian pada tahun 1957 pada tahun 1963 di mana Pulau Pinang diiktiraf sebagai sebuah negeri yang berasingan daripada Negeri Kedah. Ini sebenarnya satu pengkhianatan kepada Kedah, kepada Kesultanan Kedah, kepada rakyat Kedah.

“Kerana dalam geopolitik lokasi-lokasi yang strategik seperti Pulau Pinang yang berada di Pantai Barat, dikelilingi oleh laluan utama di Selat Melaka dan mudah diakses oleh perhubungan. 

“Maka lokasi strategik ini perlu ditarik keluar daripada Kedah untuk melemahkan Kedah. Maka lepas daripada Francis Light menipu perjanjian-perjanjian, mengkhianati perjanjian-perjanjian yang dibuat bersama dengan Kesultanan Kedah,” dedahnya.

Beliau menunjukkan bagaimana Kedah ketika ini berada antara tercorot Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerana lokasinya telah dipecahkan kepada tauke-tauke dan dari sebuah wilayah paling strategik diasingkan menjadi negeri lain. – HARAKAHDAILY 7/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -