Anwar halang angkat kuasa politik, hidup orang Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meletakkan pelbagai halangan kepada rancangan Kerajaan Negeri Kedah kerana dilihat menonjolkan kembali kuasa politik Melayu.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, juga kerana Negeri itu sedang mengangkat taraf hidup orang Melayu daripada kemiskinan kepada kemajuan dengan pelbagai program.

“Supaya orang tak dapat melihat pihak lain selain daripada Anwar Ibrahim yang ada keupayaan untuk menangani hal-hal yang yang saya sebutkan tadi. 

“Kalau PAS yang berjaya membawa isu-isu itu, maka Anwar Ibrahim tak ada apa lagi modal untuk dia bercakap dalam politik Malaysia ini,” jelasnya.

Menurutnya, kerana itulah beliau selaku Menteri Besar dihalang dari merealisasikan perancangan dibuat dan serangan semua kementerian ditujukan kepada Kedah untuk dinampakkan sebagai kegagalan.

“Alhamdulillah kita sepanjang tiga tahun itu kita tak pernah berhenti bekerja dan kita telah boleh memaparkan pencapaian-pencapaian yang kita ada setakat ini untuk menjadi benteng pertahanan kita daripada serangan-serangan yang sedang dibuat,” ujarnya.

Bagi menangani situasi tersebut, Sanusi berharap jentera Perikatan Nasional (PN) menggandakan kerja di negeri masing-masing agar pihak Anwar tidak terfokus serangan hanya kepada Kedah.

Menurut beliau, pengkhianatan Anwar kepada bangsa dan agama mesti dipaparkan, termasuk segala penipuan yang cuba disembunyikan mesti dibongkar, selain kegagalan menangani banyak isu.

Terutama menurut Sanusi, terhadap keangkuhan Anwar mengkritik dan memberi imej buruk apabila menyatakan Melayu jangan bongkak kerana di negara ini juga terdapat kaum lain.

“Dia sebenarnya telah membuka ruang yang luas untuk Melayu terus diganyang,” tegas Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu dalam siaran secara atas talian, malam tadi.

Anwar juga kata Sanusi, sedang menggambarkan bahawa pihak yang menentang sebagai menentang negara, sedangkan dalam demokrasi membenarkan protes dan tidak menyokong sedemikian.

“Kalau dia bercakap bagi pihak diri dia, untuk kepentingan politik dia, kita juga ada hak untuk bercakap tentang diri kita (iaitu) untuk kepentingan orang Melayu, orang Kedah, orang Selangor, orang Negeri Sembilan.

“Tanpa menafikan, tanpa mengenepikan hak-hak kaum lain untuk hidup aman dan harmoni di negara ini. Kita tak pernah menafikan hak itu. Tapi kita sedang bercakap tentang diri kita. Adakah itu pun tak boleh? Jadi yang dilarang itulah perkara yang paling ditakuti (Anwar),” hujahnya. – HARAKAHDAILY 7/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -