Umno akan keluar kerajaan, elak semakin hancur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PRN enam negeri bakal menjadi titik perubahan kepada Umno-Barisan Nasional (BN) khususnya terhadap keputusan yang mereka ambil untuk bersama dengan DAP dan PKR di pihak Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ahli-ahli Umno sekarang ini telah sedia curiga ataupun menjauhi parti itu kerana pilihan dibuat oleh pemimpin mereka.

“Ini adalah tempoh ataupun tempat ‘turning point’ sama ada Umno akan terus kekal bersama dengan DAP dalam kerajaan (pimpinan Dato’ Seri) Anwar Ibrahim ataupun perlu beri mesej bahawa mereka perlu keluar dari keadaan itu. 

“(Iaitu) akan membawa kepada kalau Umno merasakan tempat mereka dalam kerajaan Anwar adalah untuk menghancurkan masa depan Umno? Mereka pun tak mahu hancur, maka mereka akan buat keputusan untuk keluar kerajaan.

“Mereka (akan) ikut pola politik ataupun keadaan politik negara ini akan berubah. Sebab itulah bagi PN (Perikatan Nasional) inilah peluang kepada seluruh jentera bekerja bersungguh-sungguh untuk menang di enam negeri ini.

“(Iaitu) memberi mesej jelas bahawa perubahan perlu disegera dilakukan khususnya ahli-ahli Umno yang pernah mengundi PN pada PRU15 untuk kekal mengundi PN dan memberi mesej bahawa Umno tidak boleh berada dalam kerajaan (Anwar),” ujarnya.

Sebaliknya kata beliau, jika PH dapat mengekalkan di tiga negeri itu ketika ini seperti biasa, maka Kerajaan Anwar akan berbuat sedaya upaya untuk mereka diterima oleh rakyat Malaysia.

Menurutnya, PRN enam negeri ini juga penting sebagai serampang dua mata untuk meruntuhkan kerajaan pimpinan Anwar dan bagi menyelamatkan 3R iaitu Islam, Melayu dan Raja-raja.

Sanusi berkata, adalah tidak mustahil sama sekali dengan gelombang yang semakin membesar, PN mampu menang di semua 36 kerusi DUN Kedah walaupun analisis semasa boleh menang 33 daripadanya.

Begitu juga ujarnya, semua 45 kerusi di DUN Kelantan, manakala 32 kerusi DUN Terengganu juga boleh berlaku dengan kejutan merampas semua 10 kerusi dimenangi BN ketika ini.

Di Pulau Pinang beritahunya, daripada 40 kerusi DUN, PN perlukan 21 kerusi dimenangi untuk membentuk kerajaan di mana ketika ini mempunyai 15 kerusi majoriti pengundi Melayu dalam negeri itu.

“Kita perlu cari lagi enam kerusi, berdasarkan PRU15 kita dah buat kejutan di beberapa kerusi Parlimen dan ini menjadi kegusaran juga di pihak DAP mereka kata mereka akan hilang beberapa kerusi.

“Di Selangor 56 kerusi, yang kita hendak sekarang ialah pengundi-pengundi Umno dan BN beralih kesemuanya mengundi PN dan 36 kerusi di Negeri Sembilan. Ini pun tidak mustahil untuk kita kuasai,” ujarnya mahu jentera bersungguh-sungguh.

Tambah Sanusi, Anwar ketika ini menggunakan alat-alat negara melibatkan Jabatan dan agensi kerajaan mensasarkan anak muda untuk diubah kecenderungan mereka bagi menyokongnya.

Bagaimanapun beliau berpandangan, sejarah dan latarbelakang Anwar semakin diketahui anak muda di mana percakapannya tidak pernah benar dan pembohongan itu dilontarkan dalam bahasa yang lunak-lunak. – HARAKAHDAILY 7/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -