Vinicius cetus undang-undang anti perkauman

Vinicius Jr menjerit menunjukkan arah penonton yang menghamburkan kata-kata perkauman ketika perlawanan antara Real Madrid dan Valencia.
- Advertisement -

Kerajaan Rio de Janeiro menamakan undang-undang anti-perkauman sempena penyerang Real Madrid, Vinicius Jr yang akan menyaksikan acara sukan dihentikan atau digantung jika berlaku perlakuan perkauman.

Penyerang Brazil, Vinicius didera secara perkauman oleh peminat ketika Madrid menentang Valencia pada Mei lalu, kejadian ke-10 melibatkan pemain berusia 22 tahun itu yang dilaporkan oleh LaLiga kepada pendakwa raya.

- Advertisement -

Media tempatan melaporkan bahawa undang-undang itu diilhamkan oleh tindak balas pemain berkenaan terhadap kejadian di Stadium Mestalla apabila permainan dihentikan selama beberapa minit, manakala Vinicius menunjuk ke arah mereka yang terbabit dalam perbuatan perkauman di tempat duduk.

‘Undang-undang Vini Jr’ yang diluluskan sebulat suara oleh kerajaan Rio pada Jun lalu, termasuk protokol berhubung cara memproses aduan perkauman dan kempen pendidikan wajib.

“Hari ini adalah hari yang sangat istimewa dan saya harap keluarga saya sangat berbangga,” kata Vinicius semasa majlis di Stadium Maracana, gelanggang dia membuat penampilan sulung untuk pasukan senior Flamengo pada 2017.

“Saya masih sangat muda dan tidak sangka saya akan menerima penghormatan ini,” katanya yang juga menerima anugerah daripada dewan perundangan dan majlis bandar raya Rio.

“Kadang-kadang saya tertanya-tanya sama ada layak menerimanya. Saya tidak menjangkakan begitu banyak anugerah dan menerima semua kasih sayang di Maracana, tempat saya menghadiri dan bermain begitu banyak perlawanan untuk Flamengo.”

Setiausaha Sukan Rio de Janeiro, Rafael Picciani berkata, adalah satu penghormatan untuk memberi penghormatan kepada seorang idola bola sepak Brazil yang dilahirkan dan dibesarkan di Rio de Janeiro.

“Selain semua pencapaian kerjaya bola sepaknya, Vinicius menjadi simbol perjuangan menentang perkauman”. – REUTERS

- Advertisement -