Gagal kerana pemimpin lemah, campur tangan politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempamerkan banyak kegagalan ketika ini kerana sedang dipimpin oleh mereka yang lemah, demikian menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“(Perdana Menteri, Dato’ Seri) Anwar Ibrahim lemah dari segi tekanan oleh DAP untuk menurut kehendak DAP yang ada 40 kerusi (Parlimen) lebih berbanding 33 kerusi PKR dan 30 kerusi Umno. 

“(Presiden Umno, Dato’ Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi lemah hingga memanipulasi kerusi-kerusi Ahli Parlimen untuk berada dalam kerajaan dan untuk menyelamatkan kes-kes rasuah (dihadapinya),” ujar beliau.

Manakala rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak punya kata Sanusi, hanya menanti sama ada kerajaan kakistokrat dan kleptokrasi ini patut terus diberi sokongan ataupun ditarik balik. 

Beliau juga melihat kelemahan yang terjadi adalah kerana wujud campur tangan ahli-ahli politik dalam pentadbiran perkhidmatan awam secara tidak sepatutnya dan juga tanpa penghormatan.

“Kerja-kerja buat yang sepatutnya dilaksanakan oleh kakitangan awam itu diambil alih oleh jentera parti yang menggunakan seluruh agensi dan jabatan ini untuk kepentingan parti masing-masing. 

“Pada masa dulu Kementerian Kewangan pegawai-pegawainya hampir tak tak ada tugas (kerana) diambil alih oleh satu team yang dibawa masuk oleh Menteri Kewangan pada ketika itu mengalihkan fungsi-fungsi utama ni kepada orang-orang politik. Sekarang ni pun perkara yang sama masih berlaku.

“Dan kalau dibiarkan lebih panjang lagi tempoh pemerintahan kerajaan yang telah dikuasai oleh DAP ni, Perdana Menteri tunduk kepada desakan satu parti cauvinis, (maka), kakitangan awam akan menghadapi situasi yang lebih buruk pada masa depan,” ujarnya.

Menteri Besar Kedah itu menjelaskan, kakitangan awam terikat dengan pekeliling dan peraturan perkhidmatan untuk melaksanakan dasar kerajaan, namun terpaksa berdepan campur tangan politik yang berleluasa.

Hal tersebut menurutnya, berbeza dengan kebebasan diberikan kepada kakitangan perkhidmatan awam di negeri-negeri ditadbir Perikatan Nasional yang dapat melaksanakan tugas mengikut kepakaran mereka.

“Kita tak campur tangan dalam urusan, ‘dalam petak’ kakitangan awam. Ini kalau di peringkat kerajaan Anwar Ibrahim ini, petak kakitangan awam pun orang politik masuk, petak politik, pun orang politik duduk.

“Dan digunakan sepenuhnya kakitangan awam ni untuk mempertahankan tindakan-tindakan kerajaan yang tidak popular di kalangan masyarakat khususnya digunakan juga pasukan polis, pasukan keselamatan. 

“Adalah agensi-agensi lain lagi yang saya tahu sedang bekerja untuk memenangkan, untuk mempertahankan kerajaan Anwar Ibrahim,” kritik beliau terhadap sikap tidak profesional itu.

Tempelaknya, pemimpin politik tersebut ketika ini tidak mentadbir, sebaliknya kerajaan hanya sibuk berpolitik, selain tidak ada polisi-polisi yang jelas dikemukakan kerajaan sepertimana Menteri Kewangan dalam menangani isu kegawatan ekonomi.

“Saya kira rakyat Malaysia perlu membuat desakan ini kerana tidak ada satu polisi pun ketika kita sedang menghadapi krisis yang semakin parah ini. Nampak Menteri Kewangan sedang mengelak untuk mengambil tanggungjawab itu.

“Sebaliknya lebih berminat untuk menyampaikan ceramah dan di semua ceramah yang disampaikan, dia ambil kesempatan untuk melancarkan kempen bagi menghadapi PRN peringkat negeri dan melontarkan propaganda,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 7/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -