Kecelaruan kerajaan PH-BN tidak mampu disembunyi

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kecelaruan kerajaan campuran PH-BN tidak mampu disembunyikan lagi apabila ada menteri melakukan kerja rentas kementerian.

- Advertisement -

Banyak kejadian yang berlaku sebelum ini menggambarkan situasi tersebut.

Dan terbaharu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing dilapor merempuh kaunter Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, situasi tersebut tidak akan berlaku sekiranya setiap menteri memikul tugas dengan penuh amanah.

“Tindakan menteri terbabit dianggap melampau dan menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas.

“Lebih parah lagi ia juga dilihat campur tangan tugas Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, media melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, didakwa melepasi kaunter Jabatan Imigresen untuk ‘menyelamatkan’ seorang pelancong China yang ditahan agensi terbabit Jumaat lalu.

Ekoran itu King Sing dilapor mahu merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dalang penyebaran video kekecohan tersebut.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik menyifatkan tidak pernah ada dalam sejarah di negara ini seorang menteri ‘merempuh’ kementerian lain dan tidak menghormati tugas penjawat awam.

Tuan Ibrahim juga berkata, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim seharusnya bertindak tegas terhadap menteri yang didapati membelakangi undang-undang dan prosedur keselamatan di lapangan terbang.

“Apa yang lebih malang tindakan menteri terbabit tiba-tiba membuat tuduhan kononnya berlaku amalan rasuah dalam kalangan pegawai Imigresen.

“Sekiranya mempunyai bukti, beliau sepatutnya tampil membuat aduan kepada SPRM atau polis,” katanya yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air. – HARAKAHDAILY 6/7/2023

- Advertisement -