PORT DICKSON: Negeri Sembilan termasuk enam negeri yang terbabit dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) 8 Ogos ini. Sejak 2008 negeri itu ditadbir Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun angin perubahan sedang melanda Negeri Sembilan, apabila anak-anak muda mahu pemimpin yang dipilih mampu menjaga Islam.
Seorang pemuda Mohd Asyraf Bunawan, 23, berkata, sebagai seorang Islam beliau berharap agar pemimpin yang bakal dipilih menjadikan Islam sebagai agenda utama.
“Saya lebih cenderung pilih pemimpin berdasar ciri-ciri agama. Sebab kita bimbang dengan masa depan agama kita. Kita tak mahu letak agama kita dalam situasi terancam.
“Kita juga hendak kemajuan tetapi biarlah kemajuan itu mengikut batas-batas agama. Kalau maju tanpa menghiraukan batas agama ia tak berkat,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau yang berkhidmat sebagai ‘rider’ dengan syarikat penghantar makanan e-hailing turut berharap kerajaan dapat menyediakan tempat rehat berbumbung di beberapa lokasi di sekitar Port Dickson.
Katanya lokasi tersebut merupakan kawasan strategik untuk rider menunggu pesanan pelanggan.
“Biasa ada tiga tempat yang sesuai dibina tempat rehat iaitu berhampiran McDonald, KK Mart dan di pantai Batu 4 untuk dimanfaatkan kumpulan rider,” ujarnya.
Menurutnya juga walaupun ada beberapa tempat mereka sering berkumpul di lokasi berbumbung, namun rider tidak dibenarkan melepak.
Kata beliau di Batu 4 berhampiran Petronas Majlis Perbandaran tidak benarkah parkir kerana lokasi itu menjadi laluan orang ramai.
“Wakaf yang akan dibina tak perlu besar sebab kami akan keluar masuk apabila ada order,” ujarnya.
Rakannya hanya mahu dipanggil Man, 28, yang juga ‘rider’ separuh masa pula berharap kerajaan menyediakan lebih peluang pekerjaan di Port Dickson.
Katanya sekarang pekerjaan hanya terhad dengan industri perhotelan.
Namun menurutnya ramai rakannya berniaga, namun menghadapi masalah bagi mendapatkan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Anak-anak muda nak berniaga PBT saman sebab tak ada lesen. Sedangkan lesen susah nak dapat. Tapi terpaksa berniaga juga untuk mencari rezeki. Kena saman banyak kali, terpaksa bayarlah,” ujarnya.
Oleh itu beliau berharap kerajaan mempermudahkan urusan mendapatkan lesen bagi membantu anak muda mencari rezeki. – HARAKAHDAILY 6/7/2023