Kod pakaian di premis kerajaan gugat ketenteraman awam?

- Advertisement -

PAS Negeri Sembilan ingin menarik perhatian Kerajaan Persekutuan mengenai isu kod pakaian di premis kerajaan yang sedang diperkatakan.

Perkara ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri di JPM (Undang-undang), Ramkarpal Singh.

Usaha menyeragamkan kod pakaian untuk semua negeri adalah usaha yang wajar dilakukan supaya tiada percanggahan kod, namun perlu kekal dinilai berlandaskan prinsip Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan.

Sebarang usaha untuk mengikis nilai kesopanan dan kesusilaan daripada kod pakaian perlu ditentang.

Dakwaan Timbalan Menteri DAP mengenai kod pakaian yang sedia ada sebagai perkara yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini, adalah dakwaan yang menimbulkan persoalan ramai pihak. Adakah pernah berlaku rusuhan kaum akibat kod pakaian ini?

PAS Negeri Sembilan meyakini bahawa kod pakaian yang ditetapkan sekarang adalah bersesuaian dengan tatasusila masyarakat Malaysia dan adat ketimuran.

Apakah kod pakaian yang ketat itu pada pandangan Timbalan Menteri akan menggugat ketenteraman awam? Siapakah yang sebenarnya tergugat? Masyarakat awam atau pihak-pihak tertentu? 

Justeru, PAS Negeri Sembilan ingin memberi peringatan agar kod pakaian yang ingin diselaraskan nanti tidaklah dilonggarkan dengan alasan yang direka-reka iaitu menggugat ketenteraman awam. Berhentilah berselindung di sebalik dakwaan palsu.

KHAIRUL YAZMAN YAHYA
Ketua Penerangan
PAS Negeri Sembilan – HARAKAHDAILY 3/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -