Isu Sekolah Islam Persendirian Selangor dibawa ke MMKN

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

SHAH ALAM: Isu Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) Selangor yang menghadapi tindakan saman dan kemungkinan terpaksa ditutup operasinya dengan lebih 20,000 pelajarnya dikhuatiri bakal hilang tempat belajar akan dibawa kepada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Ia adalah susulan hasil perbincangan pada pagi tadi (hari ini) menerusi pertemuan bersama yang diadakan antara Jawatan Kuasa Bertindak Sekolah Islam Persendirian (SIP) Selangor terdiri daripada Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia(MAPPIM)dan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dengan Exco Agama, PlanMALAYSIA – Jabatan Perancang Bandar dan Desa Selangor serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

- Advertisement -

Ia adalah susulan hasil perbincangan pada pagi tadi (hari ini) menerusi pertemuan bersama yang diadakan antara Jawatan Kuasa Bertindak Sekolah Islam Persendirian (SIP) Selangor terdiri daripada Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dengan Exco Agama, PlanMALAYSIA – Jabatan Perancang Bandar dan Desa Selangor serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Hasil perbincangan pagi tadi (hari ini), beberapa jaminan telah diberikan oleh pihak Exco Agama yang akan dibawa kepada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada petang ini.

“Antaranya ialah melanjutkan operasi SIP dengan kebenaran khas sehingga tahun hadapan dan garis panduan baru kepada (SIP) yang lebih mudah akan dibincangkan dan dikeluarkan,” kata Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa mewakili Jawatan Kuasa Bertindak Sekolah Islam Persendirian (SIP) Selangor.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan Isu Sekolah Islam Persendirian (SIP) Selangor; Kebimbangan Lebih 20 Ribu Pelajar Islam Terancam Akan Hilang Tempat Belajar Ekoran PBT Melaksanakan Garis Panduan Perancangan Negeri Selangor, di Lobi SUK, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS), Dr Nik Noor Azlida Datuk Hussain dan Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Menurutnya lagi, perbincangan yang dibuat itu adalah berkaitan kesukaran pihak sekolah memohon ulasan sokongan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), bomba dan kesihatan untuk dimajukan kepada pihak JAIS bagi mendapatkan sijil  perakuan operasi sekolah.

“Kegagalan mendapat ulasan dan sokongan agensi berkenaan menyebabkan pihak JAIS tidak dapat mengeluarkan Perakuan Pendaftaran Sekolah dan akhirnya pelajar disekat daripada mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) tahun ini. 

“Lebih 80 buah SIP yang terlibat secara langsung ialah di bawah 3 PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) melibatkan  lebih 20,000 pelajar,” jelasnya.

Sehubungan itu, kata Mohd Zai lagi, hasil pertemuan itu juga UMMAH, GASIS dan MAPPIM telah mencadangkan agar JAIS membenarkan pelajar mengambi peperiksaan UPKK dan PSRA bagi tahun 2023 dalam tempoh permohonan SIP terbabit memperbaharui Sijil Perakuan Pendaftaran. 

Tambah beliau, dalam perbincangan tersebut juga, pihaknya juga telah memohon penangguhan tindakan saman dan surat arahan penutupan daripada pihak PBT kepada pihak sekolah, dan membantu mempermudahkan urusan pendaftaran SIP terbabit.

“Selain daripada itu, pihak GASIS juga telah mengemukakan kepada Exco Agama Selangor enam cadangan penyelesaian untuk disalurkan kepada JAIS dan tiga cadangan buat PBT berkenaan. 

Menurutnya, antaranya ialah memohon JAIS mengeluarkan Sijil Perakuan Pendaftaran Sementara Sekolah dalam tempoh SIP terbabit memohon sokongan PBT, bomba dan kesihatan; menyalurkan bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri (SUK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam tempoh mendapatkan sokongan daripada ketiga-tiga agensi tersebut.

Cadangan penyelesaian yang dicadangkan juga, ujar Mohd Zai, merangkumi permohonan terhadap JAIS agar menggunakan budi bicara melonggarkan syarat iaitu menerima dua dari tiga agensi (Bomba, PBT atau pejabat kesihatan daerah/PKD) bagi tujuan pendaftaran; serta memohon JAIS agar membenarkan akses ke sistem SIMPENI JAKIM bagi urusan bantuan kewangan dan pendaftaran UPKK pelajar, selain meminta jasa baik JAIS membenarkan akses ke sistem e-exam bagi urusan pendaftaran PSRA pelajar.

“Semoga dengan perbincangan ini,  isu kesukaran pendaftaran SIP terbabit akan dapat diatasi segera dan pembangunan pendidikan Islam di negeri Selangor akan bertambah baik pada masa akan datang,” katanya.  – HARAKAHDAILY 27/6/2023

- Advertisement -